Jamal Mohd Yunos mnengadakan sidang media mengenai penyelewengan dana Yayasan Warisan Anak Selangor di Ampang, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 14 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor kerana mereka juga bertanggungjawab meluluskan lesen untuk kegiatan tidak bermoral, kata Datuk Seri Jamal Mohd Yunos.

Gesaan itu dibuat Pengerusi Gabungan NGO Selangor susulan tindakan SPRM semalam yang menahan beberapa anggota polis dan pihak berkuasa di Selangor yang terlibat dalam pemberian lesen untuk rumah urut dan perjudian di Kajang.

“Kelemahan itu daripada PBT dan akhirnya menunding jari kepada polis dan penguatkuasa lain tidak buat kerja. Walhal lesen dikeluarkan oleh PBT.

“Saya minta pihak berwajib untuk kaji penglibatan ahli-ahli majlis ini di dalam kegiatan tidak bermoral ini. Bukan setakat penguatkuasa polis, bomba dan penguatkuasa agensi lain,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Gabungan NGO Selangor hari ini.

SPRM menahan 12 penguatkuasa daripada pelbagai agensi penguatkuasaan di Selangor yang terdiri daripada dua pegawai polis berpangkat inspektor, lima anggota polis, empat anggota bomba dan seorang pegawai Majlis Perbandaran Kajang.

SPRM berkata, suspek dipercayai menerima wang rasuah antara RM300 hingga RM10,000 bagi setiap kedai urut yang dilindungi.

Siasatan suruhanjaya itu juga menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab anggota penguatkuasa yang terlibat kerana bukan setakat mengutip wang rasuah tetapi menggalakkan perkembangan aktiviti tidak bermoral.

Pada 26 Desember tahun lalu, Jamal menyerbu dua buah pusat perjudian haram di Ampang Jaya dan mendakwa premis itu antara 400 pusat perjudian dan 600 rumah urut yang beroperasi di Ampang Jaya.

Jamal berkata, tindakan memberikan lesen kepada pengusaha kedai judi menyukarkan tugas polis membanteras kegiatan judi haram.

Mengulas lanjut tindakan SPRM itu, Jamal berkata PBT di Selangor perlu terlibat sama membanteras aktiviti tidak bermoral itu dengan tidak memberi lesen kepada mereka. – MalaysiaGazette