KUALA LUMPUR – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilaporkan akan mengadakan satu himpunan di hadapan pejabat penerbit filem, David Teoh selepas insiden menampar David berlaku di kediaman rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam.

Diberi tema Himpunan Aman Tanpa Senjata, ia dijadualkan diadakan di hadapan pejabat David di Metrowealth di Petaling Jaya.

Ia disebarkan dalam satu mesej yang tular hari ini melalui aplikasi WhatApps, yang mengajak orang awam agar turun beramai-ramai di pejabat berkenaan bagi mengadakan himpunan aman pada pukul dua petang ini.

“Ini berkenaan perkara David Teo yang telah bersikap biadab terhadap perdana menteri semalam di dalam Program TN50 Anak Seni Bersama PM,” menurut mesej tersebut.

Namun nama sebenar NGO berkenaan tidak didedahkan kepada umum.

Dalam satu acara di Sri Perdana, Najib sedang mengadakan sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama lebih 400 anak seni dan kemudiannya berlaku kekecohan apabila Sulaiman Yassin atau lebih dikenali sebagai Mat Over, bertindak menampar David di depan perdana menteri.

Insiden itu berlaku apabila David dilihat mahu memberi pendapatnya dan pengacara, Datuk Rosyam Nor membuka ruang kepada produser itu selama satu minit.

David dikatakan tidak berpuas hati cara Rosyam mengendalikan majlis sebagai moderator.

Sesi berkenaan disiarkan secara langsung dalam Facebook rasmi Najib. – MalaysiaGazette.