Datuk Seri Idris Jusoh. foto SAFWAN MANSOR

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh menafikan dakwaan yuran pengajian untuk program ijazah pertama di Universiti Awam (UA) telah meningkat.

Beliau menyangkal penyebaran maklumat tidak berasas bahawa Universiti Malaya telah membenarkan fakulti kejuruteraannya membuat pengambilan terus pelajar dengan yuran pengajian setinggi RM90,000.

Beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menyifatkan UA di negara ini menawarkan yuran pengajian antara terendah di dunia.

“Untuk yuran pengajian perubatan kita hanya mengenakan yuran RM3,000 sahaja, antara terendah di UA di dunia ini.

“Pelajar mengikuti kursus perubatan hanya memerlukan yuran lima peratus sahaja, fakulti kejuruteraan pun sama juga mereka (pelajar) hanya perlu bayar sekitar RM3,000,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan Persidangan Pendidikan Tinggi Kebangsaan  2017 berkaitan topik mengautonomikan Universiti Awam di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, tiada kes yang mana pelajar perlu membayar yuran lebih tinggi mahupun di UM seperti disebarkan di media sosial baru-baru ini. – MalaysiaGazette