Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar melakukan gimik perasmian pada Majlis Sambutan Perayaan Hari Guru 2017 peringkat negeri Selangor di MAEPS, Serdang. foto SAFWAN MANSOR, 25 MEI 2017

SERDANG – Guru mesti berfikir di luar kotak dan sekiranya mahu melahirkan generasi yang berwawasan dan inovatif, kata Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata, guru tidak boleh ketinggalan zaman dan menggunakan kaedah pembelajaran di zaman awal kemerdekaan kerana kerajaan menerusi kementerian berkaitan sentiasa merancang pelbagai program bagi memastikan bidang pendidikan sentiasa maju dan terkehadapan.

Menurut Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, prasyarat utama untuk membina sebuah negara yang teguh, harmoni dan sejahtera adalah melalui pendidikan berkualiti, di samping pengukuhan perpaduan dan pembinaan identiti nasional.

“Dalam kita (guru) memandang ke hadapan, kita jangan sekali-kali lupa untuk toleh ke belakang kerana ia akan menyebabkan kita hilang arah tuju kita dalam tugas sebenar mendidik anak bangsa.

“Guru juga harus mengimbau dalam tempoh lebih 60 tahun negara mencapai kemerdekaan, negara kita telah berubah menjadi maju terutama dalam bidang pendidikan,” katanya berucap merasmikan sambutan perayaan Hari Guru peringkat Selangor di Dewan D, Taman Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS) di sini, hari ini.

Kata beliau, sepanjang tempoh kemerdekaan, rakyat negara ini jelas mengutamakan bidang pendidikan kepada anak mereka apabila seawal usia tiga tahun sudah ada ibu bapa menghantarnya ke sekolah swasta.

Bagi yang tidak berkemampuan, katanya, kerajaan menyediakan sesi persekolahan peringkat pra iaitu untuk anak berusia enam tahun, sebelum memasuki alam sebenar pendidikan.

“Ini yang kerajaan rancang dan rangka, tetapi yang akan menentukan berjaya atau sebaliknya perancangan itu adalah guru.

“Selain itu, menjadi tanggungjawab guru juga untuk membantu perancangan kerajaan ini bagi melahirkan generasi yang berjaya pada masa akan datang,” ujar beliau.

Jelasnya, yang belum menjadi kenyataan lagi bagi kerajaan ialah untuk mewujudkan Kelas Abad ke-21, yang mana pembelajarannya tidak lagi menggunakan buku, sebaliknya alat mengajar yang lebih canggih seperti komputer riba.

Beliau turut memberi contoh, Kelas Abad ke-21 hanya ada satu di kawasannya di Tanjung Karang yang dijadikan projek perintis ke arah menyahut seruan kerajaan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor mengingatkan guru agar tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang melalui media sosial.

Katanya, makin canggih negara hari ini, makin mudah guru dan penjawat awam terpedaya dengan fitnah yang dicipa pembangkang yang menggunakan medium laman sosial seperti Facebook, Instagram dan sebagainya. – MalaysiaGazette