Gambar hiasan

BEIJING – Seorang penumpang wanita telah diletakkan dalam tahanan selama 10 hari dan disenarai hitam oleh Air France selepas dia menampar seorang kakitangan di lapangan terbang di tengah China.

Wanita itu hilang sabar selepas dia diberitahu oleh kakitangan lapangan terbang bahawa pemeriksaan masuk untuk penerbangan beliau dari Wuhan ke Paris telah ditutup 14 minit lebih awal, menurut Wuhan Evening News.

Kakitangan menasihatkan beliau untuk mengubah perjalanan atau mendapatkan semula tambang tiket, tetapi wanita itu enggan kerana dia perlu ke luar negara untuk satu persidangan penting.

Dia kemudian meluru ke kawasan kakitangan yang bekerja dan menampar seorang kakitangan dua kali selepas dia gagal untuk menaiki pesawatnya, kata laporan itu.

Polis dipanggil dan menahan wanita itu.

Beliau kini telah disenaraihitamkan daripada penerbangan di Air France, Beijing News melaporkan.

Wanita itu adalah penuntut doktor falsafah dari sebuah universiti berprestij di Wuhan, bersama suami dan anaknya ketika kejadian itu. – MalaysiaGazette