TEHRAN – Iran merampas sebuah bot menangkap ikan dan menahan lima nelayan warga Arab Saudi di perairan negara itu, lapor agensi berita Tasnim.

“Bot itu dirampas berhampiran Pulau Farsi milik Iran,” kata Ketua Organisasi Perikanan Wilayah Bushehr, Ardashir Yar-Ahmadi.

Penahanan warga Arab Saudi dilakukan selepas tiga minggu Riyadh membebaskan nelayan warga Iran yang dipenjara selama setahun.

Arab Saudi membebaskan tujuh nelayan warga Iran dan mereka telah tiba di Iran, lapor agensi berita, Mehr pada 29 Jun lalu.

Terdahulu, Arab Saudi didakwa  menahan tiga anggota Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).

Bagaimanapun, pada 20 Jun lalu, Ketua Pengarah Kementerian Dalam Negeri Iran untuk hal ehwal sempadan, Majid Aqa-Babaei memberitahu kelab wartawan muda bahawa Arab Saudi menafikan penahanan tentera Iran itu.

Beliau menambah, pengawal pantai Arab Saudi telah melepaskan tembakan ke arah bot nelayan Iran di perairan di selatan Iran, membunuh seorang nelayan.

Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran selepas penunjuk perasaan menceroboh kedutaannya di Tehran dan konsulat di Mashhad pada 2 Januari 2016 sebagai tindak balas terhadap tindakan Riyadh melaksanakan hukuman mati ke atas seorang ulamak syiah warga Arab Saudi, Nimr al-Nimr. – MalaysiaGazette