Azam Baki

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan ke London bagi mengambil keretangan saksi-saksi bagi melengkapkan siasatan kes pembelian sebuah hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di sana.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, pihaknya dalam proses memohon bantuan daripada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa di London bagi membolehkan pihaknya meneruskan siasatan.

“Siasatan FCI berhubung pembelian hotel di Kuching dan London sedang dijalankan, namun kes yang di London belum dapat disiapkan kerana ia akan melibatkan keterangan saksi-saksi di luar negara,” katanya sambil menambah kes pembelian hotel di Kuching akan siap dalam masa terdekat.

Ditanya mengenai kewarganegaraan saksi yang akan diambil keterangan, Azam berkata: “Mana-mana saksi yang kita fikirkan terlibat dalam siasatan kita akan pohon untuk ambil keterangan,”.

Azam berkata, pihaknya tidak menetapkan sebarang tempoh untuk menyelesaikan kes-kes itu, sebaliknya bergantung kepada maklumat yang diperolehi.

Sementara itu, SPRM telah mengambil keterangan daripada empat orang saksi dan beberapa lagi saksi akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan dakwaan penyelewengan oleh Menteri Besar Incorporated (MBI) yang membabitkan sebuah syarikat swasta.

Azam berkata, antara individu yang disoalsiasat ialah pegawai MBI.

“Siasatan sudah mula dilakukan sejak dua hari lepas dan pihak kami masih lagi mengumpul keterangan daripada saksi-saksi. Apabila kita mula menyiasat ini bermakna ada aduan yang diterima berdasarkan aduan itu kita lakukan siasatan,” tambah beliau.

Pada selasa lalu, SPRM melakukan serbuan di lima lokasi iaitu pejabat Universiti Selangor (Unisel) di Shah Alam dan Bestari Jaya, pejabat syarikat itu di Desa Pandan, Kuala Lumpur dan Bestari Jaya serta pejabat MBI di Seksyen 14, Shah Alam.

MBI dipercayai telah membayar wang kepada syarikat menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan kediaman pelajar di kampus induk Unisel di Bestari Jaya, Kuala Selangor sedangkan kontrak syarikat tersebut telah ditamatkan pada 2012. – MalaysiaGazette