Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Kamu ada stres, doktor pun rasa stres.
Naib Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Ng Chong Guan berkata, sebanyak 30 peratus doktor di negara ini mengalami tekanan mental yang serius.
Katanya, doktor sering kali dijadikan sasaran untuk melepaskan kemarahan oleh pesakit dan pihak atasan sehingga mereka berasa ‘tersepit’ dan tertekan.
Berlainan dengan persepsi orang ramai, Chong Guan berkata, doktor terutamanya doktor muda yang kekurangan pendedahan di lapangan sering gagal menangani stres.
Keadaan itu, kata Chong Guan, juga mendorong doktor tertentu meninggalkan profesion perubatan.
“Doktor muda menerima mesej yang tidak tepat mengenai kerjaya perubatan daripada televisyen dan media.
“Mereka mendapati bahawa hakikat dalam profesion ini adalah amat berbeza dengan apa yang dibayangkan,” katanya kepada China Press.
Beliau berkata, peningkatan jumlah doktor menyebabkan kekurangan tempat latihan sehingga doktor muda mempunyai pendedahan yang terhad.
“Semasa menjadi doktor pelatih, mereka akan dibantu pegawai perubatan dan hanya mengendali kes yang lebih ringan.
“Apabila tamat latihan dan ditempatkan di hospital lebih kecil, maka mereka perlu memikul tanggungjawab penuh,” katanya.
Tekanan kerja berikutan tanggungjawab yang berat sering kali menyebabkan doktor tidak dapat bertahan.
“Ada pesakit yang memang suka memarahi doktor, dan pihak atasan juga mungkin mempunyai permintaan yang sukar dipenuhi.” katanya.
Menurutnya lagi, doktor hanya merupakan insan biasa yang memerlukan rehat. – MalaysiaGazette