KUALA LUMPUR – Pemberian dana sebanyak RM200 untuk setiap anak yang dilahirkan tidak dapat mendorong pasangan kaum Cina untuk melahirkan lebih banyak anak.
Ketua Wanita Gabungan Pertubuhan Cina (Hua Zong), Ng Geok Chee berkata, dana itu dijangka tidak membantu pertambahan populasi Cina di Malaysia memandangkan pasangan Cina berasa kos membesarkan anak adalah terlalu tinggi.
“RM200 bukan satu jumlah yang mempunyai daya tarikan tinggi untuk kaum Cina melahirkan lebih banyak anak.
“Kos untuk membesarkan anak yang merangkumi kos pendidikan, makanan dan perubatan adalah jauh melebihi angka ini,” katanya kepada China Press.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2018 bahawa Dana Tabungan Permulaan sebanyak RM200 akan diberikan kepada setiap anak Malaysia yang lahir bermula 1 Januari 2018 hingga 2022 melalui unit Amanah Saham di Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Menurut Geok Chee, kos tuisyen untuk anak sahaja boleh mencecah RM500 hingga RM600 sebulan.
Beliau bagaimanapun memberi pujian kepada kerajaan kerana memberi perhatian kepada kaum wanita dalam Bajet 2018 yang dibentangkan pada Jumaat lalu.
“Kerajaan mula melihat dan mengiktiraf sumbangan wanita dalam ekonomi negara.
“Kerajaan memberi galakan kepada wanita untuk kembali ke alam pekerjaan dan mahu menambahkan jumlah wanita sebagai pembuat keputusan dalam organisasi masing-masing,” katanya.