KUALA LUMPUR – Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) berkembang sebanyak 82.4 peratus kepada RM334.5 juta sementara pendapatan bersih meningkat sebanyak 224 peratus kepada RM237.1 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 berbanding tempoh sama tahun lalu.

MAHB merekodkan perolehan sebanyak RM4.652 bilion, meningkat 11.5 peratus manakala EBITDA meningkat 11.8 peratus kepada RM1.91 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 berbanding tempoh sama 2016.

MAHB melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi tahun kewangan 2017 sebanyak 6.4 peratus kepada RM1.796 bilion, kata pengedali lapangan terbang itu dalam satu kenyataan di sini.

“Ahli-ahli lembaga pengarah mencadangkan dividen akhir sebanyak 8 sen sesaham pada tahun kewangan 2017 bersama dengan dividen interim sebanyak 5 sen sesaham,” katanya.

Menurut MAHB, trafik penumpang bagi operasi Malaysia berkembang sebanyak 8.5 peratus kepada 96.5 juta penumpang bagi tahun kewangan 2017, melebihi paras 90 juta penumpang buat pertama kalinya.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merekodkan 11.2 peratus pertumbuhan dalam trafik penumpang kepada 58.5 juta penumpang bagi tempoh sama sementara lapangan terbang-lapangan terbang di Malaysia mencatatkan pertumbuhan agregat sebanyak 4.6 peratus kepada 38 juta penumpang.

MAHB turut mencatatkan prestasi membanggakan apabila penguasaan pasaran penumpang antarabangsa melebihi 50 peratus daripada keseluruhan trafik.

Perolehan operasi Malaysia berkembang sebanyak 10.6 peratus kepada RM3.429 juta pada tahun kewangan 2017 manakala perolehan daripada segmen aeronatik dan bukan aeronatik masing-masing tumbuh sebanyak lapan peratus dan 13.4 peratus.

Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen, Istanbul Turki mencatatkan peningkatan sebanyak 5.6 peratus kepada 31.3 juta penumpang.

Perolehan daripada operasi Turki bagi tempoh sama adalah sebanyak 13.2 peratus kepada RM1.085 juta. – MalaysiaGazette