Mohd Shukri Abdull

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak dakwaan bahawa RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah daripada seorang putera Arab Saudi.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, hasil siasatan terdapat putera Arab mengaku memberikan wang terbabit kepada Najib namun gagal memberikan bukti transaksi wang berkenaan.

“Ada surat bahawa derma itu datang daripada Saudi. Berdasarkan surat itu, kami ke sana dan ada individu yang perkenalkan putera itu.

“Tapi beliau tidak boleh kemukakan bukti tersebut,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM hari ini.

Sebelum ini seorang putera Arab Saudi didakwa menderma RM2.6 bilion kepada Najib pada 2015 lalu.

Pada 2016, bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mendedahkan bahawa individu yang menderma RM2.6 bilion kepada Najib adalah‎ seorang putera kepada Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud.

Mengulas lanjut, Shukri berkata, SPRM ada membuat laporan kepada Apandi mengenai itu namun ditolak beliau.

“Jadi bila kita hantar laporan kepada Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali untuk buktikan dakwaan ini betul ke tidak, tapi tolak,” katanya. -MalaysiaGazette