Tengku Razaleigh Hamzah
Calon Presiden UMNO Tengku Razaleigh Hamzah mahu budaya politik wang dalam pemilihan parti itu dapat dihapuskan, sekali gus perwakilan dapat memilih pemimpin mereka dengan lebih jujur dan ikhlas.

GUA MUSANG – Calon Presiden UMNO Tengku Razaleigh Hamzah mahu budaya politik wang dalam pemilihan parti itu dapat dihapuskan, sekali gus perwakilan dapat memilih pemimpin mereka dengan lebih jujur dan ikhlas.

Tengku Razaleigh, yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata budaya itu tidak sepatutnya berlaku ketika UMNO sedang dalam proses pemulihan selepas ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas.

“Kita kena ingat politik wang amat bahaya dan kadangkala ia membawa kerugian juga kerana selepas wang ditabur, ada juga perwakilan yang tak memberikan undi.

“Justeru, perwakilan UMNO perlu menolak budaya dan amalan yang ‘karut’ itu supaya dapat melahirkan pemimpin yang bersih dan suci serta mampu kekal relevan sepanjang masa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Gua Musang di Dewan Bukit Chekati di sini, hari ini.

Tengku Razaleigh berkata perwakilan perlu mengambil iktibar di atas kekalahan UMNO pada PRU14 juga adalah disebabkan wang.

Dalam pada itu, beliau menegaskan cadangan debat calon presiden UMNO tidak akan mendatangkan perpecahan dalam kalangan anggota UMNO.

Katanya cadangan debat itu bagi mendapat pandangan calon yang bertanding tentang sesuatu perkara yang hendak dibangkitkan.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast