Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap kepada media selepas selesai mengadakan lawatan Jabatan Pendaftaran Negara, Presint 2, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 02 JULAI 2018
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap kepada media selepas selesai mengadakan lawatan Jabatan Pendaftaran Negara, Presint 2, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 02 JULAI 2018

PUTRAJAYA – Kerajaan akan menubuhkan satu jawatankuasa bagi meneliti isu kewarganegaraan yang tertangguh sejak sekian lama.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin berkata,
ia melibatkan 200,000 permohonan dan pembentukan jawatankuasa itu turut melibatkan Kementerian Sumber Manusia.

Menurutnya, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah bersetuju dan melantiknya untuk mempengerusikan jawatankuasa tersebut.

“Kita akan meneliti perkara-perkara yang melibatkan kewarganegaraan terutama dari aspek kad pengenalan merah dan beberapa kes tertangguh.

“Sebagaimana yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan bahawa minoriti India dan yang lain-lain termasuklah kalau ada yang berketurunan Melayu, Cina dan setakat hari ini tidak mendapat sijil kewarganegaraan atas sebab-sebab tertentu walaupun telah lama berada di Malaysia kita dapat diselesaikan,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ketika mengadakan lawatan di jabatan itu di sini hari ini.

Hadir sama pada sesi taklimat tersebut timbalannya, Azis Jamman yang baharu mengangkat sumpah pelantikan jawatan di Istana Negara pagi tadi.

Muhyiddin seterusnya yakin sebahagian besar daripada dokumen yang dikaji dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu atau dua minggu.

“Saya rasa mungkin tidak lama dalam masa seminggu dua dapat diselesaikan dan bila selesai saya akan umum, kita akan sampaikan dokumen kepada mereka itu.

“Insya Allah ini sebagai proses langkah pertama, saya percaya mereka lama dah di Malaysia, tapi perkara itu tertangguh,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, terdapat beberapa kes di Sabah dan Sarawak dimana kewarganegaraan bagi sesuatu kelahiran lambat didaftarkan.

Ini kerana katanya, perkara itu berlaku disebabkan masalah logistik ekoran mereka berada di kawasan pedalaman menyebabkan kesukaran untuk keluar ke bandar bagi membuat urusan berkenaan.

Ujar beliau, pihaknya juga telah mengkaji perkara itu dan cuba untuk diselesaikan.

Pada lawatannya juga Muhyiddin sempat membincangkan langkah untuk meningkatkan sistem teknologi di pejabat pendaftaran termasuk langkah untuk memendekkan masa pengeluaran kad pengenalan daripada dua jam kepada 30 minit.

Jelas beliau, masalah menunggu lama pada masa ini adalah disebabkan penggunaan komputer di jabatan berkenaan yang telah lama. – MalaysiaGazette