Datuk Ab Rauf Yusoh.
Datuk Ab Rauf Yusoh.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman oleh pegawai awam UMNO Datuk Seri Abd Rauf Yusoh berhubung tuntutan RM116.7 juta milik parti itu yang didakwa disita oleh polis.

Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali yang mewakili PDRM dan kerajaan selaku defendan berkata antara alasan untuk membatalkan saman itu ialah berkaitan dengan isu locus standi.

“Kami (defendan) juga akan memohon penangguhan prosiding sebelum pengurusan kes yang akan datang dan mahkamah tetapkan 1 Nov ini untuk pengurusan lanjut kes itu,” katanya kepada pemberita selepas kes itu disebut di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Rumaizah Baharom.

Peguam Datuk Hariharan Tara Singh yang bertindak bagi pihak Abd Rauf selaku plaintif mengesahkan perkara itu dan memaklumkan mahkamah juga mengarahkan defendan untuk memfailkan afidavit balasan dan penyataan pembelaan.

Beliau berkata pihaknya juga mengemukakan permohonan penzahiran dokumen terhadap defendan ketiga berkenaan senarai dokumen sitaan wang yang dilakukan di Tower B, Pavilion Residences, Jalan Raja Chulan pada 17 Mei lepas.

Antara dokumen yang diminta ialah salinan laporan polis yang menjadi asas sitaan berkenaan, salinan senarai wang yang disita, salinan gambar wang yang disita dan rajah kasar penemuan wang yang disita.-BERNAMA