Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan perjumpaan bersama Ahli Jawatankuasa Bersatu Hulu Langat di Semenyih EcoVenture Resort & Recreation, Semenyih, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 09 FEBRUARI 2019.

SEMENYIH – Keputusan pengganti jawatan Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara akan diketahui dalam masa terdekat kerana perkara itu akan dibincang terlebih dahulu dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, buat masa ini belum ada lagi senarai nama untuk dijadikan pengganti bagi kedua-dua jawatan penting dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita akan putuskan nanti pengganti-pengganti bagi kedua-dua jawatan penting dalam polis ini.

“Insyaallah saya akan bincang dengan Perdana Menteri dalam tempoh terdekat kerana tempoh untuk bersara pun sudah hampir tiba dan ini akan diputuskan oleh Dr Mahathir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengganti Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang kedua-duanya akan bersara pada Mei ini.

Mohamad Fuzi dan Noor Rashid Ibrahim sebelum ini dilaporkan bakal menamatkan kontrak perkhidmatan masing-masing pada bulan Mei ini.

Noor Rashid sepatutnya menamatkan perkhidmatan pada 17 Mac tahun lepas namun, kontraknya disambung.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung isu dadah, Muhyiddin mengakui masalah tersebut semakin membimbangkan.

“Trend dadah membimbangkan kerana ada dadah-dadah jenis baru dan sudah tersebar luas serta melibatkan orang awam serta golongan bawah 18 tahun.

“Bagaimanapun, KDN bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mempunyai rancangan khusus yang berterusan untuk menangani masalah itu,” ujarnya.

Sebelum ini, AADK mendedahkan statistik bagi tempoh 2014 hingga tahun lalu, sejumlah 115,000 kes dadah dikesan dengan 3.2 peratus atau 3,680 kes membabitkan golongan bawah 18 tahun. – MalaysiaGazette