KUALA LUMPUR – IKIM fm kini dikenali Radio IKIM sempena ulang tahun Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang ke-27 semalam.

IKIM fm dirasmikan pada Julai 2001.

Pengerusi IKIM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, penjenamaan semula Radio IKIM adalah perkara penting sebagai satu strategi untuk mengukuhkan jenama dan meningkatkan pendengar golongan muda.

“Beberapa pendekatan menerusi penjenamaan semula dilaksanakan iaitu memperkenalkan logo dan ‘tagline’ baru, menukar sebutan IKIM fm kepada Radio IKIM, format baru program bual bicara, memperkenalkan penyampai dan gandingan baru selain memperkasakan strategi digital Radio IKIM.

“Logo baru yang dilancar diharapkan dapat menyerlahkan imej korporat Radio IKIM dengan sebutan dan reka bentuk logo lebih mudah, jelas, menarik dan segar,” katanya pada majlis pelancaran penjenamaan Radio IKIM di sini hari ini.

Katanya, selain itu, ‘tagline’ baru dipilih iaitu Inspirasi Inforia Islami berbanding Pilihan Utama Anda menggambarkan siaran Radio IKIM berperanan menyampaikan kefahaman Islam selain menyiarkan hiburan mendidik jiwa berasaskan syariah.

Tahun ini, Radio IKIM menampilkan gandingan penyampai baru untuk beberapa segmen popular dan baru.

Penyampai berpengalaman, Suffian Amrin akan bergandingan bersama penyampai baru, Hazwan Syah untuk segmen Warna Pagi.

Penyampai Syafiq Salleh bergandingan dengan Datin Mona Jasman untuk segmen Destinasi, Norhayati Paradi, Siti Rohani Surani untuk segmen Aspirasi.

DJ Faiz Othman pula mengendalikan segmen Carta Xpress-C, Apa Kata Anda, Pengembara Muslim dan Syamail ar-Rasul. – MalaysiaGazatte

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast