KUALA LUMPUR – Satu Koleksi Syiling Peringatan Emas Tun Dr Mahathir Mohamad dikeluarkan sempena Kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mac tahun lalu.
Ia diusahakan oleh sebuah syarikat, Puncak Julung Enterprise.
Syiling tersebut dijual dengan harga RM160 (ketulenan emas 999; seberat 0.1 gram).
Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof yang melancarkan koleksi syiling itu berkata, ia berpotensi untuk menarik minat masyarakat antarabangsa.
“Kejayaan Pakatan Harapan memenangi PRU-14 yang lalu merupakan detik yang cukup istimewa. Majoriti rakyat berkongsi keyakinan politik untuk melakukan perubahan dan membuka lembaran baru dalam senario politik Malaysia”.
“Hari ini, YAB Tun Dr Mahathir merupakan tokoh yang sedang menikmati pengiktirafan dan penghormatan tinggi masyarakat antarabangsa.
“Kejayaan menerajui semula kerajaan buat kali kedua adalah sejarah politik yang luar biasa dan diakui masyarakat dunia,” katanya.
Pengerusi Puncak Julung Enterprise, Datuk Mohd Rodhi Abd Hamid berkata, pelancaran syiling peringatan ini mampu menggalakkan semangat patriotik di kalangan warga Malaysia. – MalaysiaGazette