Abdul Halim Azhar
Peniaga, Abdul Halim Azhar, 22, meletakkan beberapa kurma ke bekas yang disediakan untuk dijual kepada orang ramai berikutan menjelangnya bulan Ramadhan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 04 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Umat Islam di negara ini dijangka mula menunaikan ibadat puasa esok dan pastinya pelbagai persiapan telah dilakukan untuk menyambut kedatangan bulan yang mulia itu.

Kebanyakan masyarakat yang menghuni bandar metropolitan seperti Kuala Lumpur, ibadat puasa tidak lengkap sekiranya tidak mengunjungi bazar Ramadan untuk mencari juadah berbuka.

Dek kerana kesibukan bekerja dan kekangan masa, rata-rata penduduk di dalam bandar lebih gemar membeli juadah Ramadan daripada memasak.

Tambahan pula pelbagai jenis makanan boleh didapati pada bulan puasa berbanding bulan-bulan biasa.

Kunjungan Malaysia Gazette ke Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) semalam mendapati tapak pasar malam itu antara destinasi utama orang ramai setiap kali bulan Ramadan sama ada untuk membeli makanan atau kelengkapan lain.

Menurut Mat Robi Hassan, 54, dari Gombak, walaupun sibuk berniaga di pasar malam namun apabila Ramadan, dia akan mencuri masa untuk bersama keluarga sekurang-kurangnya berbuka puasa bersama.

Mat Robi Hassan
Mat Robi Hassan, 54, bercakap kepada media semasa ditemubual berikutan menjelangnya bulan Ramadhan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 04 MEI 2019

“Kami pun kadang-kala tak sempat juga, kami terpaksa bawa keluarga datang ke sini (pasar malam) berbuka puasa bersama malah terpaksa sewa hotel untuk duduk satu keluarga.

“Dalam seminggu itu juga saya akan bawa keluarga membeli-belah (persiapan raya) dan berbuka puasa bersama,” katanya.

Lorong Tuanku Abdul Rahman
Kelihatan seorang peniaga memperkemaskan khemah jualan berikutan menjelangnya bulan Ramadhan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 04 MEI 2019

Mat Robi mengakui masanya di rumah agak terbatas dan sebab itu dia akan membawa keluarga menginap di hotel berdekatan agar dapat meluangkan masa pada bulan Ramadan.

“Kalau kita nak atur masa berbuka puasa sama-sama keluarga setiap hari, mungkin kami tak sempat, sebab masa itu sangat terbatas.

“Jadi kami kena bahagi-bahagi masa (keluarga dan berniaga). Kena bahagi masa untuk keluarga itu tanggungjawab, meniaga…meniaga juga,” katanya.

Selain berbuka puasa, solat tarawih tidak dia lupakan malah lokasi pasar malam yang berdekatan dengan masjid membolehkannya mengambil peluang untuk menghidupkan malam Ramadan.

“Kita ada masjid besar dan dekat, jadi kita tak ada masalah, masjid ada dua, sana masjid balai polis dan satu lagi Masjid India.

“Jadi kami tiada masalah untuk beribadah lagi pun dekat, kita boleh curi masa untuk sembahyang tiada masalah,” katanya.

Razak Ismail
Razak Ismail, 58, bercakap kepada media semasa ditemubual berikutan menjelangnya bulan Ramadhan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 04 MEI 2019

Sementara itu, bagi Razak Ismail, 58, dari Putrajaya pula, kuih-muih dan nasi tradisi menjadi pilihan setiap kali berbuka puasa bersama keluarga dan Lorong TAR antara lokasi dia mencari juadah berbuka puasa.

“Kadang-kala kita berbuka di gerai dengan keluarga, kadang-kala kita berbuka dekat masjid, kebanyakan bila berbuka dengan keluarga di kedai kita.

“Kita biasalah kuih-muih, nasi, seri muka, akok, nasi kerabu atau nasi berlauk, kalau tak sempat juga barulah pergi kedai mamak,” katanya.

Kata Razak, setiap kali bulan Ramadan dia dan keluarga akan lebih banyak berbuka di luar dan jarang memasak di rumah kerana kekangan masa bekerja.

“Kuih atau nasi itu biasanya beli, masak tak sempat sebab keluarga kita datang tempat kerja, nak balik tak sempat nak masak, terpaksa kita beli juadah berbuka puasa,” katanya.

Ditanya tentang Bazar Ramadan, dia mengakui terdapat ramai peniaga jadian ini menjual makanan dan minuman yang tidak bersih kepada pengunjung dan tidak kurang pula yang mengambil kesempatan.

“Alhamdulillah tak pernah keracunan makanan atau apa, makanan kita beli di pasar malam di sini, depan balai pit polis depan sana tempat makanan jual juadah berbuka.

“Kita tengok gerai-gerai juga, bukan semua gerai kita nak masuk beli, dari segi tuannya kita boleh nilai dia ini pengotor atau pembersih.

“Saya pernah kena beli kuih contoh karipap intinya kosong. Kalau bulan Ramadan, kita kata kayu kering celup tepung pun laku tapi untuk sekali itulah orang makan, esok orang lain pula, dia tak beli dah.

“Bulan puasa ini apa saja jual laku, jarang benda tak habis,” katanya.

Katanya lagi, dia selalu meningatkan keluarganya agar lebih berhati-hati dengan pelbagai penipuan peniaga setiap kali bazar Ramadan bagi mengelakkan terkena keracunan makanan.

“Kena berhati-hati, inilah antara penipuan di bulan puasa, benda besar jadi kecil, kadang-kala karipap itu dia kosong tengah, ada pula inti sikit sangat.

“Banyak pihak ambil kesempatan, tapi kalau niaga pasar malam dia berniaga hari-hari, dia buat yang baik punya dan berkualiti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette