Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan mengenai dakwaan berlaku ketidakpatuhan prosedur operasi standard Covid-19 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ yang diburu polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian serangan ke atas sebuah premis hiburan di Jalan Klang Lama di sini, pada 3 Mei lepas, menyerah diri Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Kuala Lumpur ACP Alzafny Ahmad berkata, suspek terbabit yang berusia lingkungan 40-an menyerah di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada 3 petang itu.

Beliau berkata, suspek yang hadir bersama peguamnya untuk diambil keterangan dilepaskan pada hari yang sama dengan jaminan polis.

Alzafny berkata, sehingga hari ini, 15 individu ditahan termasuk Datuk Seri berkenaan, dan kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

“Hasil siasatan berhubung kes itu sedang dibuat termasuk mengesan beberapa saksi serta suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian tersebut. Seorang lagi individu dikehendaki kini berada di luar negara dan dijangka menyerah diri minggu depan sebaik pulang ke Malaysia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 40 individu bersenjatakan parang, batang kayu dan belantan disyaki ahli kongsi gelap menyerang serta merosakkan pusat hiburan berkenaan. – MalaysiaGazette