Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPT PPBM di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 15 JULAI 2019

PUTRAJAYA – Pengambilan aset bernilai RM1 bilion daripada syarikat China Petroleum Pipeline Engineering Ltd (CPP) adalah benar dan ia dilakukan mengikut prosedur yang sah.

Mengesahkan perkara itu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, itu adalah susulan kegagalan CPP menyiapkan projek dijanjikan mengikut jadual.

Mengulas laporan oleh akhbar The Straits Times dari Singapura itu, Mahathir berata, syarikat berkenaan hanya melaksanakan sebanyak 13 peratus daripada keseluruhan projek walaupun telah menerima sebanyak 80 peratus bayaran.

“Mereka membuat cadangan untuk membina saluran paip dan kerajaan (terdahulu) meluluskan namun apa yang berlaku, wang sudah dibayar 80 peratus  tapi kerja yang siap cuma 13 peratus sahaja,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Tun Mahathir menegaskan, kerajaan berhak mengambil semula wang berkenaan seperti yang termaktub dalam kontrak.

“Apabila kerja yang dilakukan tidak sepadan dengan bayaran yang sudah dibuat, kerajaan berhak mengambil semula wang itu dan ia ada disebut di dalam kontrak,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, kerajaan mengambil semula wang itu berdasarkan peratus kerja yang gagal disiapkan.

Media hari ini melaporkan penafian oleh Menteri Kewangan pihaknya ada mengeluarkan arahan untuk menyita aset bernilai RM1 bilion dari CPP.

Menurut Lim Guan Eng, arahan untuk menyita aset itu bukan dikeluarkan oleh beliau atau kementerian.

“Saya boleh katakan jika ada arahan seperti itu, ia bukan datang daripada saya atau kementerian. Jika arahan untuk menyita, ia mesti datang daripada agensi penguatkuasaan,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen hari ini.

Sabtu lalu, The Straits Times melaporkan bahawa pihak berkuasa menyita lebih RM1 bilion dari akaun bank HSBC milik CPP.

Tindakan itu dibuat selepas hampir setahun pihak berkuasa menggantung dua projek saluran paip bernilai RM9.45 bilion yang diketuai CPP. –MalaysiaGazette