KUALA LUMPUR – Kenaikan yuran perkhidmatan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari RM328 kepada RM700, iaitu sebanyak 113 peratus bakal menyaksikan mahasiwa ikat perut.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, pihaknya kesal kerana kerajaan langsung tidak serius menangani isu berkenaan.
Katanya, kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa kerajaan akan menyalurkan bantuan makanan lengkap kepada mahasiswa universiti awam juga belum dilaksanakan.
“Yang berlaku adalah peningkatan yuran yang jelas semakin membebankan mahasiswa,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Pada 19 Julai lalu, Pejabat Hal Ehwal Korporat UTM menyatakan, kenaikan yuran perkhidmatan itu hanya berkuatkuasa kepada pelajar baharu yang bakal mendaftar pada Februari 2020 (Semester 2, 2019/2020).
Manakala, pelajar kanan atau pelajar yang mendaftar pada semester sebelumnya tidak terkesan dengan perubahan itu.
Kenaikan yuran perkhidmatan itu berdasarkan kajian penanda aras antara universiti tempatan, kos pelaksanaan semasa serta peningkatan kos perkhidmatan yang menuntut universiti memperuntukkan kira-kira RM50 juta setahun.
Bahkan, universiti tidak pernah menaikkan yuran aktiviti pelajar dan yuran klinik mahasiswa sejak lebih 20 tahun lalu iaitu dari tahun 1995 denga yuran kemudahan sukan tidak pernah dikenakan kepada pelajar.
Menurut Shaharizukirnain, sebelum ini, beliau ada mencadangkan kerajaan mengurangkan kos pengajian bagi golongan B40 agar mahasiswa dapat menggunakan wang tersebut bagi menampung kos sara hidup.
Kata beliau, kerajaan juga sewajarnya memperkasakan mekanisme ‘Wakaf Pendidikan’ agar sebahagian kos pengajian dapat dialihkan daripada bebanan pelajar tanpa menjejaskan kewangan IPT berkenaan.
“Langkah ini ternyata telah terbukti berjaya, sebagai contoh, Universiti Al-Azhar yang merupakan institusi pendidikan tinggi dibiayai oleh sistem wakaf dan ternyata mampu mengurangkan kebergantungan dana kerajaan.
“Saya menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutamanya Kementerian Pendidikan mengambil peduli nasib rakyat yang mendepani masalah peningkatan yuran pengajian yang semakin meningkat.
“Saya juga berharap cadangan mengurangkan yuran kepada B40 serta pemerkasaan sistem wakaf ini diambil serius,” ujarnya.
Selain itu, katanya, kerajaan wajar menonjolkan sikap peduli rakyat seperti mana dilaungkan terhadap isu peningkatan yuran IPT yang jelas sekali membebankan mahasiswa dan tidak mustahil isu mahasiswa lapar, mahasiswa ikat perut berulang lagi. – MalaysiaGazette
Artikel berkaitan
https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/20/kenaikan-yuran-pertama-dalam-tempoh-24-tahun-utm/