KUALA LUMPUR – Program Jelajah Dakwah Dr. Zakir Naik ke Kelantan mempelawa penasihat DAP, Lim Kit Siang bersama dengan pendakwah kontroversi itu di Kota Bharu pada Jumaat ini.
Menurut Pengarah program, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, pihaknya mau memberi peluang seluas-luasnya kepada pemimpin veteran DAP berkenaan untuk mengenali Dr. Zakir secara dekat.
“Selepas itu bolehlah beliau hendak memperkatakan apa sahaja mengenai keperibadian Dr. Zakir Naik,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.
Program Jelajah Dakwah Dr. Zakir Naik Ke Kelantan 2019 akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Jumaat ini.
Jelas Ahli Parlimen Tumpat itu, desakan melampau dan angkuh para pemimpin DAP supaya pendakwah bebas antarabangsa itu keluar dari Malaysia menyerlahkan lagi sikap sebenar mereka terhadap pendakwah dan hal ehwal Islam.
Katanya, Kit Siang dan para pemimpin parti itu sewajarnya bersikap lebih rasional agar tidak terus dilihat melulu dan emosi.
“Sedangkan Dr. Zakir Naik menyampaikan dakwah secara hujah dan wacana perbincangan, bukan menyebar kebencian atau bertindak secara ekstrem, radikal, militan mahupun subversif,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan menyediakan segala kemudahan penginapan dan perjalanan kepada Kit Siang untuk bertemu dengan Dr Zakir Naik bagi mengajukan sebarang isu secara berdepan.
“Kit Siang boleh bersoal jawab sendiri dengan Dr. Zakir Naik. Persoal terus kepada pendakwah itu sama ada beliau patut balik ke India atau tanyalah sebarang kemusykilan yang dikehendaki.
“Kit Siang juga boleh membawa pembantu yang berilmu untuk bersoal jawab dengan Dr. Zakir Naik sekiranya perlu untuk berbahas berasaskan ilmu, bukannya prasangka atau kebencian seperti yang ditunjuknya hari ini.
“Saya tertanya-tanya, apa dendam Kit Siang dan pemimpin DAP kepada Dr. Zakir Naik, sedangkan masyarakat teruja berdepan hujahnya yang ilmiah dan berhikmah,” katanya. – MalaysiaGazette