Adik ipar mangsa menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang andaian berhubung kejadian menimpa abang iparnya.
Adik ipar mangsa menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang andaian berhubung kejadian menimpa abang iparnya.

KUALA LUMPUR – Adik ipar kepada Allahyarham Syed Muhammad Danial Syes Syakir yang maut dalam kemalangan di KM 239 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban semalam, meminta orang ramai tidak membuat sebarang andaian berhubung kejadian itu.

Zafri Amier menerusi ciapan akaun Twitternya hari ini memberitahu, ahli keluarga mangsa tidak mahu kejadian yang menyebabkan kematian abang iparnya itu sebagai isu perkauman.

Katanya, pihak keluarga menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan memandangkan ia sudah menjadi kes polis.

“Assalamualaikum, saya adik ipar arwah ingin meminta tolong kepada orang ramai untuk jangan buat sebarang andaian dan jadikan ini sebagai isu perkauman, ia sudah menjadi kes polis dan kami sekeluarga serahkan 100 peratus pada polis. Insha-Allah justice will prevail for arwah, terima kasih,” tulisnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 tengah hari semalam, mangsa yang berusia 29 tahun dikatakan bergelut dengan suspek lelaki berusia 41 tahun susulan perselisihan faham yang berpunca dari kemalangan kecil selepas Tol Sungai Besi menghala selatan.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat, kereta dipandu si mati dikatakan telah melanggar bahagian belakang kereta suspek dan berlaku adegan kejar dan cabar mencabar sehingga mereka berhenti selepas persimpangan Bandar Baru Bangi.

Di situ berlaku pertengkaran antara kedua mereka, menyebabkan beberapa pemandu lain turut berhenti dan mententeramkan keadaan sehingga mangsa dan suspek masing-masing kembali ke kereta.

Bagaimanapun, menurut laporan suspek kepada polis, Syed Muhammad Danial dikatakan tidak berpuas hati dan keluar dari kereta membawa sebatang kayu base ball lalu memukul bahagian hadapan kereta suspek.

Keadaan itu menyebabkan suspek memandu keretanya dan melanggar mangsa sehingga tersepit antara kereta suspek dengan penghadang jalan.

Mangsa yang cedera parah kemudian dibawa ke Nilai Medical Centre dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Polis kini menahan suspek, Yew Wei Liang dan isterinya untuk siasatan serta mendapat tempoh tahanan reman selama tujuh hari dari Mahkamah Kajang bermula hari ini.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast