KUALA LUMPUR – UMNO mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Syed Muhammad Danial Syed Syakir yang meninggal dunia dalam kemalangan di KM 239 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur Bandar Baru Bangi, kelmarin.
Ketua Penerangannya, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, seluruh kepimpinan UMNO menzahirkan rasa sedih dengan kejadian yang menimpa Pengurus di Ibu Pejabat Maybank, Jalan Tun Perak itu dalam keadaan yang tragis.
“Kejadian kemalangan yang menimpa Allahyarham Syed Muhammad Danial kelmarin sangat mendukacitakan, ia berlaku ketika umat Islam sedang membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidiladha.
“Kita ucapkan takziah kepada isteri Allahyarham Syed Muhammad Danial dan seluruh ahli keluarganya. Diharap mereka bersabar menghadapi keadaan ini,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.
Kelmarin media melaporkan, dua suspek pergelutan susulan perselisihan faham yang berpunca dari kemalangan jalan raya di KM 239 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, kini dalam tahanan reman untuk membantu siasatan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat mengesahkan tangkapan telah dibuat ke atas Yew Wei Liang, 41, dan isterinya yang turut berada dalam kereta ketika kejadian pergelutan berlaku.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurut Dr. Shamsul yang juga Ahli Parlimen Lenggong, dalam apa jua situasi, tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang.
Namun, ujarnya, kes itu sekali lagi menguji tahap profesionalisme polis dan kejadian itu telah menarik perhatian pelbagai pihak.
“Kita harap polis menjalankan siasatan dengan terperinci, adil dan telus serta segera diselesaikan supaya dapat membendung dari berlakunya perkara lain.
“Pelbagai pihak pasti inginkan keadilan. Undang-undang diwujudkan antaranya bertujuan melindungi rakyat. Oleh itu rakyat mesti diberikan pembelaan.
“Apapun berikan keyakinan dan kepercayaan kepada polis untuk mengendalikan kes ini. Rakyat yang teraniaya mesti dibela,” katanya. – MalaysiaGazette
















