Dr. Amini Amir Abdullah
Dr. Amini Amir Abdullah

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran tidak ada hak menggesa tindakan diambil terhadap pendakwah kontroversi, Dr. Zakir Naik hanya kerana dia mempersoalkan kesetiaan rakyat Malaysia beragama Hindu di negara ini.

Ini kerana, dakwaan itu ada benarnya apabila masyarakat beragama Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sentiasa mempertahankan beliau.

Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Dr. Amini Amir Abdullah menegaskan,  Zakir Naik adalah intelektual yang dihormati pandangannya dan tuduhan kerajaan India terhadapnya tidak dapat dibuktikan secara sahih hingga kini.

“Apa yang dinyatakan oleh Dr. Zakir Naik ada kebenarannya. Keistimewaan yang diperolehi beliau sebagai penduduk tetap dalam negara ini adalah hak kerajaan Malaysia dan orang India tiada hak mempertikaikannya.

“Apabila Dr. Zakir Naik mempersoalkan kesetiaan orang India kepada negara ini, ia adalah wajar kerana mereka kelihatan tunduk dan akur kepada desakan India dalam konteks ekstradisi Dr. Zakir Naik,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Dalam laporan media semalam, M. Kulasegaran dilaporkan mendakwa, Dr. Zakir Naik adalah orang luar yang melarikan diri dan mempunyai sedikit pengetahuan mengenai sejarah Malaysia.

Oleh itu, dakwa beliau, pendakwah itu tidak sepatutnya diberikan keistimewaan sedemikian untuk merendahkan rakyat Malaysia, apa lagi mempersoalkan kesetiaan mereka kepada negara.

Menurut Dr. Amini, menteri itu sepatutnya memberi fokus kepada tugasnya dalam soal sumber manusia, bukan terhegeh-hegeh mahu membawa isu Dr. Zakir Naik ke mesyuarat kabinet berikutnya.

“Kula bukanlah menteri yang mempunyai prestasi yang memberangsangkan. Nasib kaum India sepatutnya beliau fokuskan berbanding isu lain.

“Bagi orang Islam, Dr. Zakir Naik adalah seorang pendakwah yang prolifik dan menjadi idola kerana kebijaksanaan dalam menarik perhatian audiens. Pendekatan dakwahnya bersesuaian dengan kondisi masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

“Sewajarnya beliau terus menikmati keistimewaan dengan mendapatkan sokongan masyarakat Islam dalam negara ini,” ujarnya.

Perkasa percaya kerajaan Kelantan tidak menggunakan wang pembayar cukai untuk menaja program ceramah Zakir Naik.

Malah, beliau menggesa umat Islam dalam negara ini dan di luar negara perlu bersatu dan mempertahankan Zakir Naik yang menggunakan pendekatan unik dalam dakwahnya, bukan sentimen agama dan kaum.

Dr. Amini yang juga Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam (Bihalim) Perkasa turut menyatakan, M. Kulasegaran yang perlu meninggalkan negara ini jika masih degil menuduh Zakir Naik sebagai orang asing yang melarikan diri ini dan menghadapi tuduhan keganasan serta dakwaan pengubahan wang haram di India.

“Ini barulah adil sesuai dengan kedegilan beliau dan kerajaan Malaysia pula mesti terus istiqamah mempertahankan Dr. Zakir Naik,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast