Dr. Zakir Naik

KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengecam sikap melampau segelintir menteri Kabinet yang berterusan mahu mengusir pendakwah bebas, Dr Zakir Naik dari negara ini.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Mohd Nor Hamzah mengingatkan bahawa Zakir telah masuk ke negara ini dengan cara sah dan mematuhi undang-undang.

Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung berkata, sebenarnya tidak ada sebab munasabah untuk menghalau pendakwah tersebut.

“Adakah kerana ucapan beliau baru-baru ini yang dipetik di luar konteks dan dieksploitasi oleh media murahan? Jika begitu, bagaimana pula dengan ucapan Kula Segaran yang menghina orang Melayu sebagai pendatang?

“Bagaimana pula dengan penghinaan taikun pro PH, Koon Yew Yin yang menghina jalur gemilang dan angkatan tentera negara Malaysia?

“Sikap ‘double standard’ segelintir menteri hanya kerana didorong oleh sikap rasisme dan kebencian terhadap personaliti Zakir.

“Beliau berhujah dengan ilmu di pentas terbuka mengenai perbandingan agama. Beliau tidak memaksa masyarakat bukan Islam untuk memeluk Islam termasuk menghina anutan mereka.

“Mengapa menteri-menteri ini tidak mengambil kesempatan berdialog dengannya sewaktu Dr Zakir Naik berprogram di Kelantan baru-baru ini? ,” soalnya dalam kenyataan sebentar tadi.

Beliau mengulas kenyataan tiga Menteri termasuk Kula Segaran, Gobind Singh Deo dan juga Xavier Jayakumar berikutan ucapan-ucapan provokasi serta menghina masyarakat India.

Selain daripada mereka, semalam Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga di lihat mengecam Zakir kerana melabel masyarakat Cina sebagai ‘tetamu lama’. -MalaysiaGazette