Ahmad Amzad Hashim
Ahmad Amzad Hashim

KUALA LUMPUR – Tidak ada keperluan kerajaan membuat pertimbangan semula projek Laluan Rail Pantai Timur (ECRL) disebabkan kenyataan seorang saksi ketika perbicaraan kes penyalahgunaan kuasa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Bahkan, kenyataan saksi itu yang juga bekas pegawai khas Najib bahawa ECRL salah satu daripada projek bagi membantu penyelamatan skandal 1MDB tidak seharusnya digunakan sebagai justifikasi untuk projek ini dipertimbangkan semula.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, ini kerana ECRL telah melalui proses rundingan semula yang mengambil masa dan kos banyak serta dimuktamadkan sendiri oleh kerajaan pada April lalu.

Tambahan lagi, katanya, kenyataan dari pimpinan Pakatan Harapan (PH) supaya projek ECRL dipertimbangkan semula dibimbangi menggugat hubungan dua hala Malaysia-China.

“Apatah lagi memulakan rundingan semula untuk kesekian kali hanya yang lebih merumitkan keadaan untuk mencapai kata sepakat kelak.

“Projek ECRL pula turut memberi keuntungan kepada rakyat serta ‘leverage’ pembangunan yang akan memberikan pulangan jangka panjang kepada rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Ahmad Amzad menjelaskan, meneruskan projek ECRL perlu dilihat dari pelbagai aspek khususnya kepentingan yang akan dinikmati oleh rakyat kelak.

Beliau turut menasihatkan pimpinan Pakatan Harapan (PH) supaya tidak cepat melatah dalam isu sedemkian kerana akan memberi implikasi buruk terhadap negara.

Sementalah katanya, pelancaran semula projek ECRL baharu disempurnakan pada 25 Julai lalu yang turut dihadiri wakil kerajaan negara China. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast