Bursa Malaysia ringgit
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur hari ini berikutan data perdagangan terkini menunjukkan penyusutan ketara eksport negara pada September dan menyebabkan pelabur memilih untuk berada di luar pasaran di awal dagangan.

Pada 9.06 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.92 mata kepada 1,601.64 berbanding 1,603.56 sewaktu ditutup, semalam.

Indeks utama itu turun 4.94 mata kepada 1,599.07 sewaktu urus niaga dibuka.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 97 berbanding 131 manakala 216 kaunter tidak berubah, 1,504 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 178.79 juta saham bernilai RM55.58 juta.

Sementara itu, Kenanga Investment berkata eksport susut ke paras terendah dalam tempoh 35 bulan pada September apabila lebihan perdagangan mengecil.

“Dari segi produk, angka kurang memberangsangkan itu adalah disebabkan oleh penurunan penghantaran elektrikal dan elektronik, produk petroleum dan komoditi khususnya minyak sawit.

“Destinasi yang menyaksikan penyusutan eksport itu adalah Kesatuan Eropah dan rakan serantau berikutan kekurangan permintaan,” katanya.

Antara saham yang mencatat penyusutan itu adalah Petronas Chemical yang susut 12 sen kepada RM7.50, Tenaga Nasional berkurangan 10 sen kepada RM13.90, Hong Leong Bank rugi 14 sen kepada RM17.02 dan Press Metal kehilangan sembilan sen kepada RM4.71.

Penganalisis berkata, pasaran hari ini dijangka lengang ketika para pelabur terus menunggu pengumuman mengenai Kadar Dasar Semalaman oleh pihak Bank Negara Malaysia.

Dalam pada itu, dari segi teknikal, Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota ekuitinya berkata peningkatan dicatatkan FBM KLCI ternyata lebih kukuh daripada jangkaan ketika pelabur institusi, khususnya tempatan mengambil petunjuk daripada sentimen positif yang ketara dalam ekuiti global.

“Pasaran mendapat suntikan oleh penyertaan pelabur institusi walaupun penggiat asing merupakan penjual bersih, semalam. Kenaikan itu juga menyaksikan indeks petunjuk utama itu ke dalam zon belian berlebihan dengan hanya segelintir kecil tindakan menarik diri daripada pasaran,” katanya.

Menurut firma itu, kecuali terdapat lonjakan yang lebih ketara, aliran peningkatan itu dapat dilihat susulan aktiviti belian berlebihan.

“Rintangan itu berada pada tahap 1,610 dan 1,620, manakala tahap rintangan segera pada 1,600 mata dan disusuli dengan 1,590 mata,” katanya.

Saham aktif menyaksikan IFCA MSC dan Nexgram masing-masing turun setengah sen kepada 54 sen dan 1.5 sen manakala Eduspec, ARB dan Sumatec tidak berubah pada tiga sen, 37.5 sen dan setengah sen.

Kaunter paling untung adalah Kuala Lumpur Kepong yang naik 18 sen kepada RM22.16, British American Tobacco untung 16 sen kepada RM18.32 dan Petronas Gas naik 12 sen kepada RM16.70 manakala saham paling rugi ialah Dufu Techonology, Lapangan Terbang Malalaysia dan Yinson yang masing-masing turun lima sen kepada RM3.88, RM8.09 dan RM6.72.

Indeks FBM Emas kehilangan 5.91 mata kepada 11,346.10, Indeks FBMT 100 berkurangan 8.39 mata kepada 11,155.03, dan Indeks FBM Emas Shariah susut 16.93 mata kepada 11,911.33.

Selain itu, FBM Ace merosot 21.98 mata kepada 5,006.07 dan FBM 70 meningkat 9.88 mata kepada 14,054.78.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 0.93 mata kepada 15,579.06, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri berkurangan 1.03 mata kepada 154.59 manakala Indeks Perladangan meningkat 31.05 mata kepada 6,867.83. – MalaysiaGazette