Jabatan Peguam Negara. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Tindakan Jabatan Peguam Negara menarik balik pertuduhan memiliki item berkaitan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P. Gunasekaran tanpa memberi penjelasan menunjukkan Peguam Negara zaman Pakatan Harapan (PH) lebih teruk berbanding zaman Barisan Nasional (BN).

Penarikan pertuduhan tanpa sebab dalam kes LTTE yang membabitkan ADUN DAP itu hanya mengesahkan reputasi buruk Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang sudah banyak kali menyemak dan menggugurkan pertuduhan yang dibuat ke atas ahli politik PH.

Ahmad Amzad Hashim
Ahmad Amzad Hashim

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim percaya kes yang berkaitan keganasan lebih-lebih lagi di bawah Akta Keselamatan, Langkah-langkah Khas 2012 (Sosma) tidak akan dibawa ke mahkamah melainkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengemukakan bukti-bukti yang kukuh.

Tegasnya, sekalipun jika pertuduhan ini ditarik balik kerana masalah-masalah teknikal, rakyat mahukan agar Jabatan Peguam Negara menyelesaikan masalah-masalah itu dengan segera dan failkan kembali pertuduhan yang sama ke atas Gunasekaran.

“PH yang melaung-laungkan prinsip ketelusan tidak boleh menggunakan kuasa pregoratif Peguam Negara sewenang-wenangnya seperti yang pernah diamalkan pada zaman Barisan Nasional.

“Masalah keganasan bukan masalah yang boleh dipandang enteng kerana ia menjejaskan keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Tindakan ini secara terbuka menunjukkan wujudnya campur tangan politik dan pilih kasih jika dibandingkan dengan pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan kepada tahanan lain di bawah Sosma,” tambahnya. – MalaysiaGazette