KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka mengalami tidak banyak perubahan namun cenderung untuk meningkat minggu depan memandangkan pasaran menunggu beberapa data ekonomi utama.

Penganalisis berkata, memandangkan sentimen pasaran global positif, ditambah pula dengan data tempatan yang memberangsangkan, bursa tempatan boleh bergerak dengan kecenderungan meningkat antara paras 1,610 dan 1,620 minggu depan.

Beliau berkata bagaimanapun, para pelabur akan tetap berhati-hati mengenai rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China walaupun kedua-dua negara itu bersetuju untuk mengurangkan tarif yang dikenakan ke atas import barangan antara satu sama lain.

“Pasaran sentiasa memberi reaksi terhadap sebarang perkembangan yang melibatkan dua kuasa besar ekonomi dunia itu. Kebanyakannya mereka tidak mencapai apa-apa pada akhirnya, jadi situasi itu meletakkan pelabur untuk sentiasa bersedia bagi sebarang kemungkinan yang boleh berlaku,” katanya kepada Bernama.

Prospek positif dalam rundingan perdagangan AS-China telah menyokong kenaikan di pasaran saham global minggu ini selain mendorong Tabung Kewangan Antarabangsa untuk mengatakan ia mungkin menyemak semula unjuran pertumbuhan global tahun depan.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata dari sudut teknikal, FBM KLCI dapat bertahan di atas paras 1,600 mata, yang menunjukkan elemen positif kekal mempengaruhi bursa berbanding elemen negatif.

“Memandangkan kecenderungan meningkat, kami mendapati corak lanjutan jurang mata lebih tinggi kekal utuh selain menjangkakan bursa mengalami lebih banyak pergerakan positif bagi sesi dagangan akan datang,” katanya.

Beliau berkata dengan menjejaki prestasi serantau dan keredaan perang perdagangan antara AS dan China, FBM KLCI dapat meneruskan kenaikannya ke paras lebih tinggi dengan pelabur didorong keyakinan terhadap penyelesaian perjanjian perdagangan tersebut yang akan memulihkan pertumbuhan ekonomi global.

“Bagaimanapun, kita juga mendapati pelabur tetap berhati-hati bagi sebarang perkembangan dalam perang perdagangan AS-China memandangkan kedua-dua kuasa besar ekonomi dunia itu masih dalam usaha untuk mencapai persetujuan,” katanya.

Bagi minggu akan datang, dari sudut luaran, pasaran akan dipengaruhi oleh hubungan perdagangan AS-China manakala di peringkat tempatan, data kadar pengangguran dan pengeluaran perindustrian akan dikeluarkan pada Isnin (11 Nov), diikuti data jualan runcit pada Selasa serta data Keluaran Dalam Negara Kasar suku ketiga 2019 dan laporan akaun semasa pada Jumaat.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI naik 16.39 mata kepada 1,609.73 daripada 1,593.34 pada minggu lepas.

Di papan skor, Indeks FBM Emas melonjak 115.59 mata kepada 11,395.72, Indeks FBMT 100 naik 117.66 mata kepada 11,207.06 dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 69.40 mata kepada 11,824.38.

FBM 70 meningkat 162.64 mata kepada 14,102.56 dan Indeks FBM Ace naik 0.98 mata kepada 4,980.41.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turut melonjak 196.88 mata kepada 15,771.55, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.76 mata kepada 154.95, dan Indeks Perladangan menambah 126.11 mata kepada 6,875.15.

Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 13.80 bilion unit bernilai RM9.88 bilion daripada 10.31 bilion unit bernilai RM7.94 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turut naik kepada 9.55 bilion unit bernilai RM8.8 bilion daripada 7.03 bilion unit bernilai RM7.19 bilion.

Waran pula mencatatkan jumlah dagangan sebanyak 1.59 bilion unit bernilai RM291.98 juta berbanding 1.22 bilion unit bernilai RM204.69 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 2.65 bilion bernilai RM760.66 juta daripada 2.06 bilion unit bernilai RM546.45 juta pada minggu sebelum ini. – MalaysiaGazette