Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap melalui rakaman video yang disiarkan pada Sidang Kemuncak Ke-14 Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) 2019 di Pusat Konvensyen Jakarta, Indonesia. foto SYAFIQ AMBAK, 13 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Standard-standard dan prinsip-prinsip kewangan Islam yang diperkenalkan oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) sejak penubuhannya 15 tahun lalu telah menjadi pemacu kemampanan dan pengukuhan sistem kewangan itu di seluruh dunia.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, semasa IFSB diperkenalkan pada tahun 2002, nilai industri kewangan Islam hanya berjumlah AS$200 bilion.

Tetapi sejak itu, industri kewangan Islam terus berkembang dengan rancak sehingga nilainya melonjak kepada AS$2 trilion pada tahun 2018.

“Perkembangan ini membanggakan kerana ia hasil pelaksanaan standard, prinsip, panduan dan kajian oleh IFSB kepada industri dan pengawas selia,” kata Perdana Menteri sempena Sidang Kemuncak IFSB kali ke-14 di Pusat Konvensyen Jakarta di sini.

Ucapan Dr Mahathir itu disiarkan melalui video semasa bermulanya sidang kemuncak IFSB sebentar tadi.

Beliau turut memuji IFSB yang telah memainkan peranan penting semasa krisis ekonomi pada tahun 2007 yang telah mengubah bentuk sistem kewangan sehingga hari ini.

Meskipun sukar untuk menangani krisis ekonomi tetapi prinsip kewangan Islam telah menyokong transaksi perdagangan atau perniagaan yang telus kerana ia bersandarkan kepada ekonomi sebenar.

Dengan ini, kewangan Islam dapat menampan risiko daripada terus melebar.

Dr Mahathir berkata, kewangan Islam telah menjadi sistem utama di 12 negara serta terus menarik dan meluaskan penguasaan pasaran di negara-negara lain.

“IFSB telah memperkukuhkan potensinya dalam sistem kewangan antarabangsa,” ujar beliau lagi yang bangga dengan prestasi IFSB.

Namun, kata Perdana Menteri, kewujudan teknologi dalam kewangan seperti blockhain, kepintaran buatan (AI) dan distribution ledger technology, contohnya telah memberi cabaran kepada sistem kewangan Islam dan konvensional.

Kemunculan teknologi-teknologi ini telah mentransformasikan amalan individu dan akses kepada perniagaan dan perkhidmatan kewangan.

Walaupun begitu, teknologi-teknologi baharu ini juga menawarkan peluang inklusif dan kemampanan kepada sistem kewangan Islam.

“Saya gembira untuk melihat IFSB menjadi platform kepimpinan pemikir dalam isu-isu kewangan Islam yang baru muncul merentasi negara-negara,” tambah Dr Mahathir. – MalaysiaGazette