Bursa Malaysia ringgit
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur dengan indeks petunjuk pasaran terus lemah berikutan penurunan beberapa saham wajaran tinggi terpilih termasuk Top Glove dan AMMB Holdings.

Pada 9.25 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.96 mata kepada 1,593.88 daripada paras penutup 1,596.84 pada Jumaat minggu lepas.

Pada pembukaan, indeks utama itu turun 1.76 mata kepada 1,595.08.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 218 berbanding 199, manakala 244 kaunter tidak berubah, 1,368 tidak diniagakan dan 31 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 438.62 juta saham bernilai RM162.02 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata dengan tiada sebarang berita negatif berkaitan perjanjian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China pada hujung minggu, masih terdapat harapan ia boleh dicapai.

Prospek perjanjian perdagangan antara kedua-dua ekonomi terbesar dunia itu akan terus mempengaruhi hala tuju pasaran dalam tempoh terdekat ini, begitu juga keputusan musim pelaporan yang menghampiri tempoh kemuncaknya.

“Kami melihat indeks utama terus mengukuh apabila institusi mengambil peluang untuk melakukan dagangan berpilih bagi beberapa saham berkaitan indeks.

“Ini akan membolehkan indeks utama itu mencabar semula paras 1,600 mata dan sekiranya paras ini berjaya dilepasi, paras ketahanan beralih kepada 1,605 dan 1,610 manakala paras sokongan berada pada 1,590 dan 1,580,” kata firma penyelidikan itu dalam satu nota hari ini.

Sementara itu, saham berharga rendah dan saham keseluruhan pasaran masih berada dalam aliran penstabilan dan trend ini dijangka berterusan dalam tempoh terdekat ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Top Glove dan AMMB Holdings susut satu sen setiap satu masing-masing kepada RM4.59 dan RM4.05, Malaysia Airports turun tiga sen kepada RM8.26, manakala Sime Darby Bhd, Press Metal Aluminium dan Hong Leong Financial Group tidak berubah masing-masing kepada RM2.35, RM4.70 dan RM16.56.

RHB Bank naik lima sen kepada RM5.75, Maxis meningkat dua sen kepada RM5.33, Maybank menokok satu sen kepada RM8.65 dan Hong Leong Bank menambah dua sen kepada RM16.76.

Dalam kalangan kaunter cergas, Ekovest dan Sapura Energy meningkat setengah sen setiap satu masing-masing kepada 83.5 sen dan 29 sen, Eduspec Holdings dan EA Holdings tidak berubah masing-masing pada 2.5 sen dan satu sen, manakala Bumi Armada susut dua sen kepada 48.5 sen.

FBM 70 meningkat 9.64 mata kepada 14,113.25, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 7.54 mata kepada 11,862.59, Indeks FBM Emas susut 12.46 mata kepada 11,316.03, Indeks FBMT 100 turun 13.98 mata kepada 11,124.51 manakala FBM Ace berkurangan 6.31 mata kepada 4,884.79.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 21.05 mata kepada 7,199.05, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 24.18 mata kepada 15,525.01 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.06 mata kepada 151.59. – MalaysiaGazette