Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye melakukan saringan suhu badan sewaktu melawat pameran pada Majlis Perasmian Kongres Saintifik ke-17 Persatuan Hipertensi Malaysia pada di Shangri-La Hotel, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 14 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Jumlah mesin pengimbas suhu badan yang disediakan di semua pintu masuk utama negara dengan 28 mesin tambahan baru-baru ini mencukupi untuk mengendalikan kes Novel Coronavirus (Covid-19) di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chai berkata, buat masa ini, pihak kementerian belum lagi ada keperluan terdesak untuk menambah jumlah unit itu dan ia akan diteliti dari semasa ke semasa mengikut situasi.

Katanya, pihak kementerian telah membuat pemetaan dalam penyediaaan mesin pengimbas suhu badan yang diperlukan untuk melakukan saringan terhadap warga negara Malaysia di pintu masuk sempadan negara termasuk di Kompleks Kastam, Kuarantin dan Imigresen (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar, Johor.

“Kita telah membuat pemetaan mengenai keperluan dalam penyediaan bilangan mesin pengimbas suhu badan yang diterima baru-baru ini yang mana kita kini sudah ada 80 unit seluruh pintu masuk negara.

“Tetapi kita juga menggalakkan pihak swasta menyediakan pengimbas suhu badan sebagai sokongan tambahan kepada kementerian kesihatan untuk menangani jangkitan Covid-19. Kalau hotel juga boleh menyediakan pengimbas suhu memudahkan juga proses saringan.

“Kita minta kerjasama ini daripada swasta sebab setiap unit mesin itu mahal yang mana melibatkan kos bernilai RM40,000 seunit,” katanya dalam sidang media selepas hadir merasmikan Kongres Saintifik Ke-17 2020 Persatuan Hipertensi Malaysia di Hotel Shangri-La hari ini.

Dalam satu lagi perkembangan sama, Ahli Parlimen Gopeng itu menjelaskan Jawatankuasa Kerja Bersama yang dipengerusikan beliau dan rakan sejawat di Singapura akan bersidang minggu depan untuk memuktamadkan berapa perkara penting yang perlu dilaksanakan segera.

Katanya, setakat ini tarikh spesifik mesyuarat kedua-dua pihak belum ditetapkan sambil mengesahkan pertemuan dua hala itu juga melibatkan sidang video selain pertemuan bersemuka secara langsung.

“Belum ditetapkan (tarikh pertemuan). Pegawai kesihatan tertinggi kami sedang menguruskannya bersama rakan-rakan setugas di sana (Singapura) sebab kita ada beberapa perkara yang tidak semestinya memerlukan pertemuan bersemuka.

“Ini cuma jawatankuasa kerja timbalan menteri kedua-dua negara jiran dan akan meneliti tiga perkara iaitu pertamanya saringan pengimbasan rentasi sempadan kedua-dua negara.

“Keduanya, kita akan bincang mengenai perkongsian maklumat berkaitan kesihatan awam, klinikal dan penyelidikan dan ketiga adalah mengenai pemindahan pesakit kedua-dua negara apabila perlu iaitu rakyat Malaysia yang menerima rawatan Covid-19 di sana dan sebaliknya,” katanya lagi.

Menurut beliau, ia juga termasuk menentukan kaedah memudahkan pemindahan pesakit Covid-19 kedua-dua negara berkenaan jika perlu.

Ditanya sama ada pertemuan dua hala itu boleh dijangka dilakukan awal minggu depan, beliau bagaimanapun berkata, para pegawai tertinggi yang menganggotai jawatankuasa itu sedang berusaha ke arah itu.

“Jika kedua-dua pihak bersetuju, kami akan endorse sama ada pertemuan itu secara bersemuka atau menerusi sidang video.

“Saya sebenarnya telah merancang ke Singapura atau Johor Bahru tapi sekarang saya perlu meneliti dahulu jadual kedua dua pihak dan saya rasa keputusan boleh dibuat minggu hadapan,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette