MELAKA – Status dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Datuk Norhizam Hassan Baktee (DAP-Pengkalan Batu) dan Datuk Muhamad Jailani Khamis (PKR-Rembia) yang menyokong Perikatan Nasional akan dibincangkan di peringkat parti.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka Adly Zahari berkata perkara itu akan dibincangkan dalam waktu terdekat, sambil menyifatkan tindakan dua ADUN itu sebagai pengkhianatan terhadap mandat rakyat.

“(Dijadikan) Barua (dakwaan Norhizam ketika bersama PH) bagi saya hanya alasan untuk menghalalkan tindakan beliau …tindakannya untuk keluar PH itu mengkhianati mandat rakyat,” katanya pada sidang media di Bukit Katil di sini. hari ini.

Turut hadir Pengerusi PKR Melaka Datuk Halim Bachik dan Pengerusi DAP Melaka Datuk Tey Kok Kiew.

Semalam, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dilaporkan telah mendapat representasi bahawa Adly yang merupakan ketua menteri Melaka tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ADUN Melaka.

Dalam sidang media semalam Pengerusi Barisan Nasional Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mendakwa gabungan baharu itu memperoleh sokongan 17 ADUN termasuk Norhizam dan Muhamad Jailani daripada keseluruhan 28 bagi membentuk kerajaan negeri.

BACA: Kerajaan PH Melaka tumbang, Norhizam sertai kerajaan baharu

Sementara itu, Halim berkata mengikut perjanjian PKR mana-mana wakil rakyat dalam kalangan ADUN atau Ahli Parlimen yang keluar parti itu perlu membayar denda sebanyak RM10 juta.

“Jika seseorang individu itu dipecat, dia tidak perlu membayar denda tersebut. Sekarang kita tidak pecat dia (Muhamad Jailani) namun secara dasar dia sudah menyokong kerajaan baharu (bermaksud) dia sudah isytihar keluar parti,” katanya.

BACA: Ahli Parlimen PKR kena bayar RM10 juta jika keluar parti

Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu perlu dirujuk kepada Lembaga Disiplin PKR bagi tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Tey berkata beliau tidak jelas dengan dakwaan Norhizam yang menyatakan dirinya dijadikan ‘barua’ oleh pihak DAP dan DAP Melaka masih menunggu arahan DAP Pusat untuk tindakan selanjutnya.

“Saya tidak faham maksud barua, kena tanya dirinya kerana selama ini kita perjuangkan hak penduduk Melayu, Cina serta India dan apabila perjuangan kita tidak berjaya saya tidak salahkan sesiapa, sebaliknya dia beri pelbagai alasan. Setakat ini saya belum berjumpa dengannya,” kata Tey yang juga ADUN Bandar Hilir.- BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN:

Saya selama ini jadi barua sahaja – Norhizam