Orang ramai mengunjungi pasar pagi seperti biasa untuk mendapatkan bekalan makanan sebagai stok sepanjang perintah PKP.

SHAH ALAM – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bersambung dua minggu lagi  sehingga 14 April ini menimbulkan keresahan dalam kalangan orang ramai terutama suri rumah.

Mereka resah kerana barangan keperluan yang dibeli pada hari pertama PKP berkuatkuasa 18 Mac lalu sudah hampir habis dan mendorong mereka ke pasar pagi dan pasar raya untuk mendapatkan bekalan.

Agak membimbangkan mereka, kerana larangan perintah PKP mahukan setiap rakyat berada di dalam rumah selama tempoh itu dan bakal berdepan tindakan jikan engkar.

Namun, selama mana mereka dapat bertahan dengan barangan keperluan untuk makanan dan minum hampir habis?

Hendak atau tidak, mereka terpaksa juga keluar rumah untuk mendapatkan bekalan itu.

Walaupun pasar raya borong ini dibuka jam 10 pagi, orang ramai mula memenuhi pintu masuk pasar raya ni sejak jam 8 pagi lagi.

Tinjauan MalaysiaGazette pada hari ke-12 PKP dikuatkuasakan, orang ramai seperti biasa ‘menyerbu’ pasar raya borong dan pasar pagi untuk membeli bahan mentah bagi kegunaan sepanjang tempoh kuarantin.

Bezanya, pengurusan pasar raya mengenakan peraturan dengan orang ramai perlu beratur pada jarak satu meter dan hanya membenarkan 30 hingga 50 pelanggan masuk pada satu-satu masa.

Bagaimanapun, tiada peraturan khusus bagi pembeli yang berkunjung di pasar pagi atau pasar basah.

Mereka bebas bergerak dari gerai ke gerai jualan tanpa mematuhi jarak renggang satu meter antara satu sama lain.

Inilah fenomena yang berlaku sepanjang tempoh empat minggu PKP dikuatkuasakan dari 18 Mac hingga 14 April ini, dan mungkin dilanjutkan lagi sekiranya kadar jangkitan virus Covid-19 meningkat.

Melihat keadaan itu, wajarkah menuduh mereka degil kerana melanggar perintah duduk di rumah atau dianggap sebagai terpaksa demi menyambung nyawa untuk mendapatkan bekalan barangan keperluan asas? – MalaysiaGazette