ISTANBUL – Sejak pengumuman solat Jumaat dibenarkan di Turki semalam selepas lama ditutup kerana Covid-19, hampir kebanyakan masjid mula dibuka semalam.

Bagaimanapun, agensi melaporkan, jemaah dinasihatkanmematuhi garis panduan ‘norma baharu’ agar pembendungan virus berkenaan dapat dibendung.

Pengamatan media juga mendapati ratusan jemaah mula mengunjungi Masjid Biru atau Blue Mosque di Istanbul yang amat popular bukan sahaja dalam kalangan tempatan sebaliknya pelancong luar.

Masjid itu dipanggil dengan nama Sultanahmet Camii dalam bahasa Turki namun ia lebih popular disebut Masjid Biru kerana jubin di sekeliling reka bentuk dalaman berwarna biru.

Masjid itu dibina antara tahun 1609 dan 1616 ketika pemerintahan Sultan Ahmed 1 telah ditutup sejak Mac lepas bagi membendung Covid-19.

Para jemaah di lihat memakai topeng muka serta menggunakan cecair pembasmi kuman ketika berada di masjid berkenaan.

Sementara itu, di Masjid Fatih pula jemaah menunaikan solat Jumaat di bahagian dalam dan luar masjid.

Semua petugas majlis perbandaran menyediakan cecair pembasmi kuman untuk jemaah dan memasang karpet pakai buang untuk mencegah jangkitan.

Dalam pada masa itu, lokasi lain termasuk pusat beli-belah malah kedai gunting rambut juga dibenarkan beroperasi semula selepas sekatan pergerakan mula dilonggarkan.

Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata, restoran, kafe, perpustakaan dan pantai akan mula dibuka pada Isnin namun mengingatkan rakyat perlu membiasakan diri dengan norma baharu.

Turki yang mempunyai 83 juta penduduk setakat ini melapor 162,120 kes Covid-19 dengan 4,489 kematian setakat ini. –MalaysiaGazette