Peguambela, Farhan Read hadir pada penghujahan berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Ia bukannya rahsia bahawa bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menyimpan ‘dendam’ terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Justeru, bagaimanakah seseorang yang memiliki sifat sedemikian bertindak memberi keterangan yang benar dan terbukti faktanya?

Persoalan tersebut dikemukakan oleh peguam bela Najib, Farhan Read ketika hujah penggulungan akhir kes pembelaan SRC International hari ini.

Husni merupakan saksi pendakwaan ke-55 secara terbuka sebelum ini mengakui bahawa beliau ada membuat ugutan akan mendedahkan tentang Perdana Menteri ke-6 itu.

Husni didakwa tidak berpuas hati dengan Najib yang beliau percaya adalah dalang terhadap laporan gangguan seksual ke atas bekas kakitangan wanita yang bekerja dengannya sebelum ini.

Selain itu Najib juga dipercayai telah memutuskan untuk memindahkan beliau dari Kementerian Kewangan (MOF) ke Unit Perancangan Ekonomi (EPU) yang mana menyaksikan Husni meletak jawatan pada 2016.

“Saya hendak tanya bagaimanakah pandangan dan tanggapan terhadap kredibliti saksi seperti ini sebenarnya?

“Apakah kita boleh percaya sahaja apa yang dikatakan itu? Isu salah laku sekskual yang dikenakan ke atasnya itu beliau salahkan Datuk Seri Najib, jadi bolehkah terima pakai keterangan individu seperti ini?

“Husni juga ada mengakui akan mendedahkan Najib? Bagaimana kita terjemahkan kredibliti saksi seperti ini?

“Mahkamah sebenarnya perlulah berhati-hati untuk mengguna pakai keterangan saksi seperti ini,” hujahnya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Kes SRC: Ahmad Husni mengaku dirinya tidak lebih daripada ‘budak pejabat’

Najib sendiri ketika membela diri menyifatkan keterangan Husni tidak lebih daripada ‘lawak jenaka’ sahaja.

Bagaimanapun pada masa sama, Najib juga seolah-olah ‘berjiwa besar’ dengan tidak mendedahkan keperibadian bekas menteri itu, sebaliknya hanya menyebut Husni lebih banyak salah sangka terhadapnya.

Husni ketika memberi keterangan dan di soal balas oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah juga kelihatan beremosi ketika bercakap tentang Najib yang juga bekas Presiden UMNO.

Dakwa Husni, Najib telah memberi memberi amaran supaya beliau tidak sesekali mencampuri urusan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mahupun SRC International.

Selain itu, Husni berkata, beliau sekadar menurunkan tandatangan ketika diperlukan dan jarang sekali mengetahui status sebenar syarikat-syarikat pelaburan malah mengakui telah dipaksa menandatangani dokumen pelaburan berjumlah RM2 bilion tanpa mengetahui maklumat terperinci.

Kata Farhan, dakwaan Husni bahawa Najib sengaja menghalangnya pergi ke Switzerland bagi melakukan rundingan dengan kerajaan negara itu tidak boleh diguna pakai.

Farhan berkata, bukan niat Najib untuk menyorokkan sesuatu berkaitan dana itu, sebaliknya bekas Perdana Menteri itu tidak mahu menghantar seseorang seperti Husni sahaja ke Switzerland namun ia telah di salah anggap oleh bekas Menteri itu.

Prosiding masih lagi berjalan dengan hujah-hujah yang dikemukakan pasukan pembelaan berhubung penyewelengan dana bernilai RM42 juta serta pecah amanah yang dikaitkan dengan Najib. – MalaysiaGazette

Ahmad Husni berdendam dengan saya, dakwa Najib