Mustapa Mohamed

JELI –  Kerajaan perlu mendengar pandangan semua pihak terutamanya Bank Negara Malaysia (BNM) dan bank tempatan lain dalam membuat keputusan mengenai cadangan dan permintaan untuk melanjutkan tempoh moratorium yang akan berakhir September ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perkara itu memerlukan penelitian kerana yang paling penting ialah merancakkan kembali ekonomi negara yang terjejas oleh pandemik Covid-19.

“Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, kita mendengar pandangan semua pihak seperti rakyat, peniaga dan bank-bank tempatan dan mereka memaklumkan cadangan itu sukar untuk dilaksanakan kerana akan menimbulkan tekanan kepada mereka.

“Apa yang telah diputuskan kerajaan sebelum ini telah banyak mengurangkan beban rakyat dan peniaga. Tumpuan kita pada masa ini ialah menggerakkan sektor ekonomi. Lebih rancak pertumbuhan, desakan untuk lanjutkan tempoh moratorium akan terus berkurangan,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Menjana Ekonomi Digital@Jeli di Pusat Dakwah (Pondok Moden) di sini.

Pada 25 Mac lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penangguhan pembayaran balik pinjaman, penstrukturan semula baki kad kredit dan pinjaman perniagaan selama enam bulan susulan penularan wabak COVID-19.

Mustapa berkata, sebanyak 90 peratus sektor perniagaan telah kembali beroperasi namun masih belum mencapai tahap jumlah dagangan yang dikehendaki seperti sektor perhotelan dan peruncitan yang jumlahnya jauh berkurangan berbanding sebelum pandemik.

“Jika keadaan ekonomi terus malap kemungkinan kerajaan akan mempertimbangkan permohonan seperti melanjutkan tempoh moratorium tetapi kita yakin pertumbuhan ekonomi kita akan terus bertambah baik,” katanya.

Mengulas isu lima projek utama di Kelantan, Mustapa berkata, beliau akan mendengar taklimat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan petang ini berhubung statusnya yang dikatakan agak perlahan dan kerajaan amat memahami situasi itu.

Lima projek tersebut ialah projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3); menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP); laluan baharu Pasir Puteh – Machang – Jeli; Lebuhraya Kota Bharu – Kuala Krai dan Jambatan Palekbang – Kota Bharu.

Pada 7 Mac tahun lepas, Menteri Hal Ehwal Ekonomi ketika itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dalam lawatan ke Kelantan mengumumkan Kerajaan Persekutuan meluluskan tambahan RM200 juta untuk pembangunan negeri itu, menjadikan peruntukan keseluruhan disalurkan kepada Kelantan menerusi Kajian Separuh Penggal RMK-11 sebanyak RM1.4 bilion.

Dalam pada itu, Mustapa berkata kerajaan mahu peniaga kecil terutamanya yang tinggal di pedalaman memanfaatkan perniagaan dalam talian yang kini mampu menjadikan mereka sebagai usahawan yang berjaya sejajar dengan perkembangan semasa. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Tak boleh pakai cakap lalang ni…bila rasa kerajaan jatuh (atas sbb asakkan dari UMNO sendiri) terus buat u-turn kononnya kerajaan kena dengar pandangan ramai.,jgn ada mana-mana kerajaanpun ambil ular 2 kepala ini.,hanya pentingkan jawatan dan tidak ada prinsip setia kepada Parti.

Comments are closed.