Datuk Seri Mustapa Mohamed

PUTRAJAYA – Garis kemiskinan nasional bakal disemak semula dan akan diumumkan tidak lama lagi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menurutnya, isu garis kemiskinan itu telah dibincangkan dalam Kabinet sejak tahun lalu dan beberapa jawatankuasa Unit Perancang Ekonomi telah menyemak dan mengemas kini angka tersebut.

Mustapa mengakui, kadar garis kemiskinan nasional pada masa ini sebanyak RM980 sebulan bagi setiap isi rumah berdasarkan kajian metodologi yang dilakukan pada tahun 2005 sudah ketinggalan zaman.

”Kita telah membuat keputusan lama untuk menyemak semula garis kemiskinan nasional, selaras dengan matlamat kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-11.

“Sejak akhir tahun lalu, kita telah membincangkan isu ini dan ia sudah pun dibentangkan kepada Kabinet sebanyak dua kali.

“Paras kemiskinan RM980 bagi isi rumah yang kita gunakan pada masa ini menggunakan metodologi 2005. 2005 itu digubal tahun 2005. Oleh kerana sudah 15 tahun lalu, sudah pasti ia outdated (ketinggalan zaman).

“Jabatan Perangkaan sudah menyemaknya pada tahun 2018 dan hasilnya telah dibentangkan kepada Kabinet dan saya sudah membuat libat urus dan apabila selesai semuanya kita akan mengeluarkan angka-angka baharu,” katanya ketika pelancaran Banci Malaysia 2020.

Beliau mengulas mengenai laporan Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Bagi Miskin Tegar dan Hak Asasi, Philip Alston, yang mendakwa kadar kemiskinan Malaysia 0.4% terendah di dunia adalah tidak realistik dan gagal menggambarkan keadaan sebenar.

Lantaran itu, dalam laporannya yang diterbitkan pada 6 Julai lalu, Alston mendakwa Malaysia didakwa terkebelakang dalam komitmennya untuk menyemak semula kadar kemiskinan nasional.

Menurut Alson, kerajaan sebelum ini telah menyatakan berkomitmen untuk menyemak semula garis kemiskinan nasional, tetapi maklum balas kerajaan baharu menimbulkan keraguan apabila menyatakan ia “mengekalkan dengan (kadar) kemiskinan mutlak”.

Kadar kemiskinan negara sebanyak RM980 bagi setiap isi rumah sebulan menyaksikan keluarga dengan empat orang di bandar hidup dengan RM8 orang setiap hari, ujarnya lagi.

“Tindakan kerajaan menimbulkan kebimbangan kerana garis kemiskinan semasa adalah tidak tepat dan secara universal dianggap mengelirukan,” kata Alston yang pernah melawat Malaysia pada Ogos tahun lalu. – MalaysiaGazette