Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man melihat demonstrasi oleh pihak Indah Water Konsortium (IWK) pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Pengosongan Sistem Perangkap Lemak, Minyak dan Gris (FOG) Indah Water Konsortium (IWK) di Kementerian Alam Sekitar dan Air, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 08 JULAI 2020

PUTRAJAYA – Sebanyak 200 aduan dan kes pembuangan sisa makanan (lemak, minyak dan gris atau FOG) secara haram oleh premis makanan dilakukan dalam tempoh 6 hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jumpa aduan ini diterima selepas pengusaha restoran dibenarkan beroperasi semula.

Meskipun terdapat ketetapan untuk menguruskan pembuangan sisa makanan iaitu FOG secara berjadual oleh premis makanan namun kata beliau, ada yang tidak bertanggungjawab melakukannya secara haram.

“Walaupun Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menetapkan semua premis makanan di dalam kawasan operasi PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) memasang, menyelenggara dan mengosongkan sistem perangkap minyak sebagai syarat mendapatkan atau memperbaharui lesen perniagaan, namun saya dimaklumkan oleh Indah Water Konsortium terdapat insiden pelepasan buangan FOG oleh premis makanan terus ke dalam paip pembentungan awam atau sistem perparitan.

“Malah ada juga kontraktor yang dilantik pelanggan mengambil jalan mudah dengan melupuskan FOG secara haram ke dalam paip pembentungan,” kata beliau selepas melancarkan Perkhidmatan Pengosongan Sistem Perangkap Lemak, Minyak dan Gris yang diperkenalkan oleh Indah Water Konsortium (IWK).

FOG adalah sisa yang terhasil daripada aktiviti penyediaan makanan seperti sisa makanan, minyak masak dan lain-lain.

FOG dikenalpasti satu faktor yang menyumbang kepada masalah paip pembentungan tersumbat yang menyebabkan air kumbahan melimpah keluar ke tanah, bangunan, perairan dan sungai.

Menurut Tuan Ibrahim, bahan buangan FOG di premis makanan sepatutnya diuruskan secara berkala iaitu dua minggu sekali bagi mengelakkan paip perangkap tersumbat seterusnya melimpah ke sistem pembentungan dan mengakibatkan pencemaran. 

Berikutan itu, beliau yang menyeru agar pemain industri makanan dalam kalangan pengusaha restoran menyokong pengurusan FOG.

“Oleh itu saya menyeru kepada operator dan industri penyediaan berasaskan makanan supya menyokong usaha kementerian untuk memastikan FOG diuruskan dengan baik dan teratur serta menimbangkan perkhidmatan pengosongan FOG yang dijalankan IWK,” katanya.

Bagi memastikan masalah pencemaran dan paip pembentungan tersumbat dan melimpah disebabkan oleh FOG, IWK hari ini meluaskan perkhidmatan kerja-kerja mengosongkan sistem perangkap bahan buangan untuk pemilik premis makanan, pengusaha restoran dan kedai makan.

Perkhidmatan ini bukan sahaja dapat mengurangkan pencemaran FOG tetapi ia juga dapat menangani masalah paip pembentungan yang tersumbat kerana pembuangan sisa makanan khususnya minyak secara tidak teratur.

Usaha ini, kata Tuan Ibrahim, selaras dengan Pelan Induk Teknologi Hijau 2017-230 ke arah pelestarian alam sekitar. -MalaysiaGazette