Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Biarpun kluster terbesar Covid-19, iaitu kluster Sri Petaling telah diisytiharkan tamat, namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meneruskan ujian saringan terhadap subkluster perhimpunan tabligh Sri Petaling.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, aktiviti penjejakan dan pemeriksaan masih dijalankan untuk kumpulan tahfiz dan madrasah.

“Aktiviti saringan akan terus dijalankan untuk bukan hanya kluster jemaah tabligh Sri Petaling tapi juga subklusternya.

“Sekolah tahfiz dan madrasah masih kita jalankan saringan, kalau ada keperluan dan ada tanda-tanda peningkatan kes contohnya jemaah tabligh kita akan jalankan ujian saringan,” katanya dalam sidang media harian berhubung Covid-19, hari ini.

Kluster Sri Petaling Kluster diisytihar tamat pada hari ini apabila lelaki berusia 83 tahun discaj dan dibenarkan pulang pada Isnin lalu.

Lelaki dari Batu Pahat itu sebelum ini dirawat selama tiga bulan sejak dikesan mengalami simptom pada 9 Mac lalu.

“KKM akan jalankan saingan tertumpu iaitu kumpulan yang berisiko dan dikenalpasti serta lokaliti tersebut”, jelas Noor Hisham lagi.

Kebanyakan kes positif kluster ini adalah tidak bergejala iaitu, 2,187 kes atau 64.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif kluster ini.

Seramai 87 pesakit telah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu seramai 29 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Bagi kluster ini, seramai 3,341 individu telah sembuh manakala 34 kematian telah dilaporkan.

Kes kematian ini terdiri daripada 31 warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara. – MalaysiaGazette