KUALA LUMPUR – Kabel dasar laut ketiga Langkawi bakal beroperasi bulan ini.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Datuk Seri Amir Hamzah, projek merentang kabel yang menghubungkan Pencawang Masuk Utama (PMU) Kuala Perlis dengan PMU Teluk Apau, Langkawi yang bermula dua tahun lepas kini sudah 98 peratus siap.

“Projek ini juga mampu menjadi pemangkin kepada usaha meluaskan capaian internet jalur lebar di Langkawi menerusi Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) untuk merancakkan lagi sektor ekonomi pelancongan di pulau tersebut.”

“Projek merentang kabel dasar laut 132 kilovolt (kV) ini adalah sebahagian daripada perbelanjaan modal TNB untuk mengukuhkan infrastruktur elektrik negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

TNB membelanjakan RM161 juta sebagai perbelanjaan modal untuk projek ini.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir. Husaini Husin berkata, sistem elektrik di Langkawi kini dikawal sepenuhnya secara automasi.

“Apabila kabel dasar laut ini beroperasi kelak, ia akan meningkatkan kapasiti penerimaan tenaga yang lebih berdaya harap,” katanya.

Awal tahun lalu, sistem bekalan elektrik di Pulau Langkawi mula dikawal secara automasi sepenuhnya melalui Kawalan Penyeliaan dan Permolehan Data Berkomputer (SCADA) yang menghubungkan semua 409 pencawang di pulau peranginan itu, katanya.

Automasi dapat membantu mempercepatkan masa pemulihan bekalan elektrik sekiranya berlaku kerosakan sistem.

Tambah Ir. Husaini, kabel dasar laut yang sedang direntang itu menggunakan teknologi terkini yang pertama kali digunakan di Malaysia, iaitu cross-linked polyethylene berbanding oil-filled cable yang digunakan sebelum ini.- MalaysiaGazette