BANGI- Perniagaan yang menghadapi masalah untuk membayar bil letrik masing-masing boleh mengadakan pertemuan dengan pihak Tenaga Nasional Bhd. (TNB) untuk berbincang.
Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, para peniaga dan usahawan kecil dan sederhana boleh dibantu mengikut kesesuaian dan masalah yang dihadapi oleh mereka.
“Mereka boleh datang ke TNB dan kita akan siasat satu per satu dan jika ada yang boleh kita tolong, kita akan tolong,” katanya ketika ditanya apakah TNB menawarkan moratorium atau bantuan khusus kepada pengguna yang berhadapan masalah membayar bil letrik masing-masing.
Terdahulu, Amir Hamzah menghadiri majlis pelancaran program “Upskilling Programme For TNB Contractors” di sini hari ini.
Menyentuh mengenai pengguna domestik pula, Amir Hamzah berharap bantuan bernilai RM2.6 bilion yang diumumkan di bawah Pakej Prihatin dapat meringan beban mereka.
Di bawah inisiatif tersebut, seramai empat juta atau 52.2 peratus pengguna domestik dengan bil elektrik kurang RM77 sebulan atau penggunaan bawah 300kWj, akan menikmati bekalan elektrik percuma selama tiga bulan.
Pengguna yang terbabit akan mendapat bekalan elektrik percuma bagi bulan April, Mei dan Jun yang akan dikreditkan ke dalam bil pengguna pada Julai dalam bentuk rebat.
Bagi pengguna domestik yang menggunakan elektrik lebih 300kWj sebulan pula akan menerima potongan bil sebanyak RM231 iaitu RM77 sebulan bagi bulan April, Mei dan Jun 2020 dan bayaran itu juga akan dikreditkan semula dalam bil Julai.- MalaysiaGazette