Radzi Jidin.

KUALA LUMPUR – Jurang digital dalam kalangan murid luar bandar untuk mengikuti pembelajaran dalam talian sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sememangnya wujud.

Perkara itu diakui Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin, yang memberitahu, ia terjadi disebabkan sebahagian murid tidak memiliki peranti bersesuaian untuk membolehkan pembelajaran dapat diikuti dengan berkesan.

Menurut beliau, maklumat tersebut diperolehi hasil Kajian Kesediaan Murid dalam Pembelajaran Secara dalam Talian yang dilaksanakan oleh kementerian antara 28 Mac hingga 2 April lepas.

“Kajian itu membabitkan 670,118 responden terdiri daripada ibu bapa kepada 893,331 murid, yang mana enam peratus murid mempunyai komputer peribadi; 9.3 peratus (memiliki komputer riba); 5.8 peratus (tablet) dan 46.5 peratus (telefon pintar).

“Ada juga murid yang memiliki lebih daripada satu peranti bagi kegunaan pembelajaran secara dalam talian.

“Namun, ada 36.9 peratus murid tidak mempunyai sebarang peranti bagi membolehkan mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis bagi menjawab soalan Ahli Parlimen (Jempol-BN) Datuk Mohd Salim Sharif yang ingin tahu usaha dilakukan kementerian bagi memastikan murid luar bandar dan pedalaman tidak tercicir sepanjang PKP akibat jurang digital.

Jelas Mohd Radzi lagi, aspek tahap akses Internet terhad juga menjadi antara cabaran besar kerana pembelajaran tidak dapat dilakukan secara menyeluruh dan seragam kepada semua murid.

Selain itu katanya, pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian adalah sesuatu yang baharu untuk kebanyakan guru, murid dan ibu bapa.

Justeru, mereka masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan kaedah baharu yang digunapakai itu, tambahnya.

Ujar beliau lagi, bagi membantu kumpulan murid yang tidak mempunyai akses kepada talian internet dan alat peranti bersesuaian, kaedah ‘Homebased Learning’ turut dilaksanakan melalui siaran TV Pendidikan.

Katanya, siaran dilaksanakan melalui saluran TV Okey dan saluran Tutor TV Astro.

“Guru turut melaksanakan pengajaran dan pembelajaran melalui serahan bahan pembelajaran kepada murid terutama yang tinggal di luar bandar dan pedalaman.

“Serahan bahan ini dibuat melalui pelbagai kaedah seperti perkhidmatan pos, bantuan penghantaran oleh Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dankaunter pandu lalu di sekolah,” jelasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Yang dibandar pun ada yang tak mampu, harga internet terlalu mahal!

    Sejam dua pembelajaran secara dalam talian, tidak tertanggung kosnya!

Comments are closed.