Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Bhd. (TNB) mencatatkan penurunan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 46.7 peratus bagi separuh pertama tahun kewangan 2020 kepada RM1.41 bilion berbanding RM2.65 bilion tempoh sama tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penyusutan itu disebabkan terutamanya oleh kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kemeruapan nilai tukaran asing.

Syarikat utiliti negara itu merekodkan penurunan perolehan sebanyak 13.7 peratus kepada RM22.55 bilion berbanding RM26.12 bilion tempoh sama tahun lalu.

Ini disebabkan penyusutan sumbangan daripada anak-anak syarikatnya manakala Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) berada di kedudukan rebat sebanyak RM520 juta berbanding lebihan sebanyak RM1.79 bilion pada separuh pertama tahun lepas.

Jualan elektrik bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini terjejas akibat penutupan premis perniagaan semasa PKP kepada 53,535.7 GWh berbanding 58,521.1 GWh tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, permintaan elektrik menunjukkan peningkatan dengan kemuncak permintaan direkodkan pada 17,484 MW pada Jun, 17,724 MW pada Julai dan 18,307 pada Ogos.

“Negara ini menunjukkan petunjuk positif pemulihan ekonomi susulan pembukaan semula sektor industri dan komersial semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Ini telah menunjukkan permintaan elektrik turut meningkat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, TNB menjangkakan trend positif itu akan berterusan dan stabil pada separuh kedua tahun ini.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.