Salah satu kemudahan Airbus di Bouguenais, Nantes. foto Reuters

BERLIN – Prospek industri penerbangan terus merosot disebabkan lonjakan kes jangkitan koronavirus dan lanjutan sekatan pergerakan.

Dengan keadaan luar biasa ini, ditambah pula dengan kebimbangan pengembara terhadap pandemik, syarikat penerbangan telah memperlahankan penghantaran pesawat baharu.

Susulan itu, Airbus perlu membuang 15,000 pekerja di seluruh dunia.

Ketua Pegawai Operasi Airbus, Michael Schoellhorn berkata, situasi awal musim luruh lebih buruk daripada yang diramalkan oleh syarikat itu ketika musim panas.

Katanya, pengurangan 15,000 orang pekerja yang dirancang itu adalah minimum.

Oleh kerana beberapa kilang Airbus sudah tidak digunakan sebelum wabak, kesatuan pekerja sekarang bimbang pihak pengurusan mahu menutup lokasi-lokasi berkenaan.

Namun Schoellhorn menolak langkah tersebut untuk operasi Airbus di Jerman.

“Dari segi hakikat, saya tidak melihat lokasi Jerman berisiko pada masa ini,” katanya.

Bulan lalu, Ketua Eksekutif Airbus, Guillaume Faury memaklumkan pihaknya akan melakukan yang terbaik untuk mengurangkan kos tetapi itu tidak menjamin pengurangan pekerja tidak akan berlaku.

Dalam surat kepada kakitangannya pada bulan September, Faury mengingatkan Airbus mungkin terpaksa melakukan pengurangan pekerja secara mandatori setelah industri penerbangan masih belum pulih akibat daripada pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast