KUALA LUMPUR – Affin Bank Berhad (Affin Bank) memaklumkan hampir 100% permohonan untuk Program Bantuan Kewangan dan Pelepasan Bayaran Ansuran AFFIN (F.A.I.R) sedang mendapat manfaat daripada program ini.

Program F.A.I.R. adalah penyelesaian bantuan kewangan yang disesuaikan dengan profil dan keadaan semasa para pelanggan yang terjejas kesan pandemik Covid-19 dan Affin Bank akan terus menerima permohonan sehingga bulan Jun 2021.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata, setakat ini bank telah menerima lebih daripada 13,000 permohonan bernilai RM2.6 billion.

”Pihak Bank terus komited untuk membantu para pelanggan dari pelbagai segmen perniagaan yang menghadapi masalah kewangan dalam membayar ansuran bulanan untuk pinjaman atau kemudahan kewangan mereka.

“Kami telah menyediakan pelbagai pilihan bantuan pembayaran untuk memenuhi keperluan kewangan para pelanggan dan kami mengalu-alukan para pelanggan yang memerlukan bantuan untuk membuat permohonan bagi program ini secepat mungkin,” katanya.

Beliau mengingatkan para pelanggannya yang terjejas oleh keadaan pandemik Covid-19 untuk segera menghubungi pihak bank sekiranya mereka ingin meminta bantuan pembayaran balik pinjaman / pembiayaan mereka.

Menurutnya, status CCRIS peminjam yang memohon serta diluluskan bantuan pembayaran balik tidak akan terjejas. – MalaysiaGazette