KUALA LUMPUR – Lapan kopi campuran yang dijual di pasaran merupakan antara 21 produk makanan yang didapati mengandungi racun berjadual yang dilarang penambahannya.

Disyaki diadun dengan racun berjadual seperti sildenafil, tadalafil, dexamethasone dan prednisolone, justeru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melarang semua produk yang telah dikenal pasti untuk dijual di pasaran.

KKM dalam masa yang sama memberi amaran tidak ada paparan maklumat palsu dilakukan pada label untuk menipu pelanggan.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sentiasa memantau produk-produk makanan di pasaran termasuk produk makanan yang disyaki diaduk dengan racun berjadual seperti sildenafil, tadalafil, dexamethasone dan prednisolone,” kata KKM menerusi kenyataan.

Terdahulu KKM menerusi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) yang membuat pemantauan sepanjang 2019 hingga Ogos tahun ini mendapati sebanyak 21 produk makanan membabitkan 16 jenama daripada sejumlah 849 produk makanan yang dianalisis mengandungi racun berjadual yang dilarang penambahannya dalam makanan.

Sebanyak empat pengeluar atau pengedar daripada 16 jenama produk makanan telah dikenakan tindakan undang-undang kerana gagal mematuhi undang-undang tersebut.

“Bagaimanapun, hasil siasatan yang dijalankan ke atas 12 jenama produk makanan yang lain mendapati nama dan alamat syarikat adalah palsu atau tidak lengkap. Maklumat semua produk makanan tersebut adalah seperti di lampiran.

“Semua peniaga termasuk peniaga atas talian yang masih mempunyai stok produk tersebut diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan semua produk tersebut dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan,” kata kenyataan itu lagi.

Menurut KKM, menjual produk mengandungi racun berjadual ini adalah kesalahan yang tertakluk di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983, yang menyatakan mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihata.

Sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Orang ramai yang sedang menggunakan produk ini disarankan supaya segera mendapatkan nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan.

Orang ramai turut diingatkan untuk sentiasa menggunakan kebijaksanaan dan berhati-hati dalam membeli produk makanan yang mungkin diaduk dengan bahan terlarang.

Pihak terlibat seperti pengilang, pembungkus, pengedar, ejen pemasaran dan penjual juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan produk makanan yang dijual mematuhi perundangan makanan.

Pengguna yang mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq. – MalaysiaGazette