Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Orang ramai dipelawa untuk memberi maklum balas berhubung cadangannya untuk meminda Garis Panduan Unit Amanah.

Menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), proses rundingan selama dua bulan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan SC untuk mempertingkat daya saing pasaran dan memastikan perkembangan yang berterusan industri unit amanah Malaysia.

SC telah menggariskan 30 cadangan sebagai sebahagian daripada kertas perundingan tersebut, yang meliputi usaha melonggarkan jenis pelaburan yang boleh dipertimbangkan oleh dana, hingga pindaan untuk pengukuhan proses pengurusan risiko syarikat pengurusan dana.

Malah, SC juga mempertimbangkan peningkatan kepada syarat pengoperasian, termasuk urus niaga dan penilaian dana.

Bagi memastikan polisi yang konsisten bagi dana unit amanah, SC juga menimbang untuk memperluaskan beberapa langkah yang dicadangkan untuk diguna pakai dalam dana agangan bursa (ETF) dan skim persaraan swasta (PRS).

Peningkatan baharu yang dicadangkan ini akan menggalakkan daya saing yang lebih besar dalam industri dan memberi akses kepada pelabur kepada rangkaian produk yang lebih luas, di samping mengekalkan perlindungan pelabur yang secukupnya.

Kertas cadangan ini boleh didapati di laman sesawang SC.

Pihak yang berminat boleh menghantar maklum balas mereka melalui http://www.sc.com.my/survey-cp01-2020 sebelum 10 Januari 2021.

Orang ramai juga boleh menghantar e-mel kepada [email protected] untuk pertanyaan lanjut.

Ketika menjalankan semakan semula terhadap industri unit amanah dan merumus Kertas Perundingan ini, SC telah mengambil kira keperluan pelabur yang semakin meningkat, perkembangan dan keperluan kawal selia dalam bidang kuasa lain, serta maklum balas yang dikumpulkan daripada pelbagai sesi penglibatan bersama pihak berkepentingan, termasuk sesi dialog SC bersama industri baru-baru ini.

Dana unit amanah merupakan komponen terbesar dalam industri Skim Pelaburan Kolektif di Malaysia.

Setakat 30 September 2020, terdapat 39 syarikat pengurusan tempatan yang diluluskan untuk menawarkan 693 dana unit amanah dengan jumlah nilai aset bersih (NAV) sebanyak RM490.3 bilion. – MalaysiaGazette