Datuk Seri Anwar Ibrahim .

KUALA LUMPUR – Menjelang sesi undian bagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 (Belanjawan 2021) bulan hadapan, pembangkang berkeras tidak akan memberi sokongan jika tuntutan mereka tidak ditunaikan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya telah menyuarakan cadangan dan pendapat kepada kerajaan mengenai Belanjawan 2021, namun mereka tidak ada pilihan lain sekiranya tuntutan itu tidak ditunaikan.

“Ya (tidak akan sokong),” katanya dalam temubual dalam program khas MalaysiaGazette, Owh!MG yang disiarkan malam tadi.

Menurut Anwar, Belanjawan 2021 harus dipinda terlebih dahulu bagi memenuhi keperluan mendesak rakyat ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara kini.

Sehubungan dengan itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, peruntukan perbelajaan dan mengurus tahun hadapan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu perlu dipinda menggunakan pendekatan terbaik kepada rakyat yang terhimpit ekoran Covid-19.

“Kita tidak akan sokong kalau tidak diubah dahulu sebelum kita mengundi bahawa belanjawan ini mesti tertumpu kepada covid-19 yang sekarang ini bukan.

“Kita bagi syarat, tidak tunai apa pilihan kita (selain tolak),” katanya.

Anwar dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Parlimen berkata belanjawan dibentangkan pada 7 November lalu tidak menepati tuntutan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH).

Malah Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menyifatkan unjuran dalam belanjawan tersebut tidak realistik dan tidak munasabah.

Anwar turut berkata sumber dana peruntukan RM3 bilion bagi membeli vaksin Covid-19 kerana tidak jelas dalam belanjawan yang dibentangkang Menteri Kewangan, Datuk Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Senada dengan beliau, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkata sokongan bersyarat Barisan Nasional (BN) terhadap Belanjawan 2021 dengan menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran “one-off” hingga RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP selain melanjutkan moratorium sehingga Jun 2021.

Lebih daripada itu, Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad dan tiga Ahli Parlimen Bebas mewakili parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pula menangguhkan keputusan untuk menyokong atau tidak Belanjawan 2021.

Keempat-empat mereka berharap cadangan bernas diberikan tempat dalam belanjawan itu sebelum diluluskan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 4 November lalu menyeru agar semua Ahli Parlimen termasuk daripada blok pembangkang akan menyokong Belanjawan 2021.

Malah Muhyddin turut optimis semua ahli politik komited dan akan bekerjasama untuk kebaikan negara. – MalaysiaGazette